Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan 12 individu bagi membantu siasatan kehilangan 26 laras senapang patah milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Selama, Perak, awal bulan ini.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, pihaknya menemui semula 11 senapang terbabit selepas semakan dilakukan manakala selebihnya belum diserah semula.

Ujarnya, mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai jabatan itu, dipercayai individu yang menjual senjata api berkenaan manakala selebihnya adalah pembeli yang turut dipercayai membabitkan anggota Rela.

Jelasnya, pihak polis akan meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa tangkapan terhadap individu yang terbabit di sekitar Selangor.

“Saya mengesahkan setakat ini 26 laras (senapang) yang hilang walaupun mulanya (dilaporkan) 44. Tapi selepas semakan semula, 26 yang hilang dan 11 daripadanya sudah kita jumpai semula. Kita telah menangkap 12 orang di utara semenanjung.

“Kita akan melakukan beberapa tangkapan di Selangor dan saya menasihatkan mereka yang membeli senjata api ini segera menyerahkannya kepada pihak polis,” ujar Khalid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Hari Terbuka Kementerian Dalam Negeri, di Kompleks KDN Ayer Keroh pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti saki baki individu yang disyaki terlibat dengan urusan jual beli senjata api ini dan menyeru mereka untuk menyerahkan diri sebelum ditahan polis.

Katanya, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Senjata Api 1971.

Beliau berkata, polis juga akan melakukan pemeriksaan dan pengauditan ke atas semua agensi kerajaan yang diberi lesen menggunakan senjata api bagi mengelakkan mereka menggunakan senjata yang tidak berdaftar.

Ketika diajukan soalan berhubung dakwaan senjata api terbabit dijual ke luar negara, Khalid menyangkal dakwaan itu dan percaya kesemua senjata yang dijual oleh ‘pegawai’ yang disyaki terlibat itu hanya dijual di pasaran dalam negara.

Beliau mengulas mengenai penahanan beberapa individu di Kedah dan Perak selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti jual dan beli sebahagian daripada 44 laras senjata api milik pasukan Rela Daerah Selama, Perak, yang dikesan hilang sejak awal bulan ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api, Polis Kontinjen Kedah bersama Unit Penguatkuasaan Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan KDN melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah.

Susulan kejadian itu, satu serbuan secara besar-besaran dilakukan di sekitar Selama, Bukit Merah, Kerian, Batu Kurau, Gerik, Bagan Serai dan kawasan kecil di Serdang, Kedah, bermula Rabu lalu.