Setakat 4 Jun 2018, Jabatan Imigresen telah mengeluarkan sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baki nama daripada jumlah peminjam berkenaan dijangka dikeluarkan dari sistem senarai hitam pada 15 Jun ini.

"Kemudahan pelepasan sekatan ke luar negara bagi peminjam ini terpakai kepada peminjam yang nama mereka masih di dalam sistem, di mana semua pintu masuk negara seluruh negara telah dimaklumkan.

"Manakala bagi individu yang disenarai hitam oleh Lembaga Hasil Dalam Hasil (LHDN) pula, mereka dibenarkan ke luar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun 2018, selaras dengan surat arahan agensi yang diterima Jabatan Imigresen pada tarikh sama," katanya semasa sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Mengikut rekod, sebanyak 433,708 nama peminjam PTPTN yang disenarai hitam itu merupakan angka yang diperoleh sejak tahun 2000 sehingga 23 Mei 2018.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata lebih satu juta peminjam telah disenarai hitam sejak tahun 2000, namun 655,000 orang yang telah membuat bayaran dikeluarkan daripada senarai tersebut melalui kaedah biasa sebelum ini.

Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 telah berjanji untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN dan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.