Tutup

27,000 'bala tentera' dilepaskan untuk lawan Aedes

27,000 'bala tentera' dilepaskan untuk lawan Aedes
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad (dua kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelepasa Telur Aedes BerWolbachia di apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil, hari ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dalam usaha membanteras wabak denggi secara habis-habisan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melepaskan 'bala tentera' Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia bagi menentang 'musuh' dari kalangan spesiesnya sendiri.

Operasi melepaskan telur nyamuk tersebut dilakukan di 11 lokaliti di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, bermula hari ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM120,000 bagi membekalkan telur Aedes berWolbachia di setiap lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan denggi.

“Kaedah nyamuk Aedes berWolbachia ini dilaksanakan susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti di Selangor sejak Mac 2017, yang telah menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 hingga 80 peratus.
“Pelaksanaan kaedah inovasi ini dipilih untuk menangani beban kes denggi yang tinggi dan juga untuk mengurangkan kebergantungan kepada kawalan nyamuk dengan menggunakan racun serangga,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Telur Aedes BerWolbachia di Apartmen Sri Rakyat, di sini, hari ini.

Menerusi kaedah itu, nyamuk Aedes berWolbachia jantan akan mengawan dengan nyamuk Aedes betina yang tiada Wolbachia, seterusnya menghasilkan telur yang tidak boleh menetas.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefli berkata, Apartmen Sri Rakyat dipilih sebagai lokasi pelepasan telur nyamuk tersebut berikutan kawasan itu merekodkan sebanyak 130 kes denggi sepanjang lima tahun, dan ketiga tertinggi di Kuala Lumpur.

Sebanyak 180 bekas pelepasan yang setiap satunya mengandungi 150 telur nyamuk Aedes berWolbachia telah diletakkan di sekitar apartmen tersebut.

“Bagi fasa pertama, operasi pelepasan telur nyamuk Aedes berWolbachia melibatkan dua negeri yang mempunyai beban kes denggi dan kepadatan penduduk yang tinggi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – Putrajaya dan Selangor.

“Pelaksanaan fasa seterusnya akan diperluaskan ke negeri lain. KKM akan sentiasa memantau dan membuat analisa situasi bagi memastikan keberhasilan operasi akan memberi impak kepada pengurangan kes dan kematian denggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 62,421 kes denggi dilaporkan sejak Januari hingga 29 Jun lalu, yang mana angka itu menunjukkan peningkatan kes sebanyak 92.4 peratus bagi tempoh sama tahun 2018.

Daripada angka tersebut, Selangor kekal menduduki tangga teratas dengan mencatatkan sebanyak 35,544 kes denggi, diikuti Kuala Lumpur (7,248), Johor (5,142), Pulau Pinang (3,037), Sabah (2,599) dan Kelantan (1,747).

Kes paling rendah adalah di Labuan dengan 22 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

“Manakala jumlah kumulatif kematian demam denggi dari 1 Januari hingga 29 Jun adalah sebanyak 93 kematian berbanding hanya 53 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2018, iaitu peningkatan sebanyak 40 kes kematian (75.5 peratus),” ujarnya.


Tag: Kuala Lumpur, KKM, Denggi, Aedes, Kementerian Kesihatan, kesihatan, Wolbachia, Selangor Aedes, Wilayah Persekutuan, Selangor



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.