28 Julai gerhana bulan paling lama abad ini

28 Julai gerhana bulan paling lama abad ini
Gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 28 Julai ini dijangka paling lama abad ini, iaitu selama 1 jam 43 minit. -Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 28 Julai ini dijangka paling lama abad ini, iaitu selama 1 jam 43 minit.

Pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, gerhana yang berlaku ketika bulan purnama kali ini, boleh dilihat di bahagian bumi yang sedang mengalami malam, iaitu meliputi sebahagian besar Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Di Malaysia, katanya, fasa gerhana separa bermula kira-kira jam 2.24 pagi dan secara perlahan lahan tetapi boleh kelihatan dengan jelas, permukaan bulan menjadi gelap sedikit demi sedikit.

“Bulan purnama ini akan bertukar menjadi ‘sabit’ sehinggalah mencapai kegelapan penuh kira-kira sejam selepas itu, menandakan permulaan fasa gerhana bulan penuh berlaku jam 3.30 pagi selama kira-kira 1 jam 43 minit.

“Fasa gerhana penuh ini berlangsung sehinggalah jam 5.13 pagi apabila bulan mula keluar dari kawasan zon bayangan umbra. Ketika ini, bulan kelihatan bercahaya semula sedikit demi sedikit sehingga keseluruhan jasad bulan berada di luar kawasan bayang-bayang bumi kira-kira jam 6.19 pagi.
“Secara cerapan nampak, gerhana bulan kali ini sudah berakhir dan fasa bulan kembali menjadi fasa purnama sebagaimana biasa, walaupun untuk satu jam selepasnya, bulan masih berada dalam kawasan bayang-bayang luar (penumbra),” katanya kepada Sinar Harian.

BACA: Saksikan gerhana penuh kali kedua 28 Julai ini

Jelasnya, pada awal pagi 28 Julai ini, bulan berada sejauh 400100 kilometer (km) dari bumi, yang boleh disifatkan sebagai menghampiri jarak terjauh bulan dari bumi. Ini bermakna, saiz bulan secara relatifnya lebih kecil ketika purnama nanti.

Berdasarkan jarak ini juga, zon bayang-bayang bumi mengunjur sejauh 1.4 juta km dengan saiz kawasan zon bayangan ini dianggarkan diameter keluasannya 9,200 km.

Di tambah dengan faktor orbit bulan merentasi hampir ke tengah kawasan zon umbra, gerhana bulan yang berlaku merupakan gerhana penuh dengan tempoh bergelapnya selama 1 jam 43 minit yang dikatakan sebagai tempoh gerhana penuh paling lama bagi abad ini (tahun 2001-2100).

“Berbanding ketika berlakunya gerhana bulan penuh pada 31 Januari lepas, saiz muka bulan ketika itu lebih besar berbanding dengan saiz muka Bulan pada Julai ini nanti. Saiz bulan yang kecil secara relatif ini, menjadikan tempoh bulan merentasi keluasan zon bayang-bayang bumi lebih lama,” katanya.

Oleh itu Dr Baharrudin berkata, solat sunat gerhana bulan (khusuf) di Malaysia boleh dilakukan sebaik tompokan hitam mula kelihatan dengan jelas kira-kira jam 2.24 pagi dan berlarutan sehingga gerhana berakhir, kira-kira jam 6.19 pagi.

Jelasnya, oleh kerana fenomena kali berlaku ketika waktu puncak iaitu bermula ‘sepertiga malam’, umat Islam diharap tidak melepaskan peluang ini dengan menghidupkan awal pagi ini dengan menggerakkan aktiviti-aktiviti kerohanian, qiamullail dan membaca al-Quran serta selawat.

“Tuntutan supaya melakukan ‘solatul khusufin’ dan amalan-amalan lain ketika berlaku gerhana, sebenarnya manifestasi ikhtiar manusia agar Allah SWT sentiasa merahmati hidup mereka dan menghindari sebarang perkara buruk di luar kawalan manusia.

“Oleh kerana kita telah mengetahui yang fenomena ini bersifat sementara, maka aktiviti kerohanian yang dilakukan sepanjang gerhana juga sebenarnya untuk menunjukkan tanda kesyukuran kita,” katanya.