Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengesahkan seramai 29 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan pertubuhan kebajikan anak yatim di Temerloh di sini, dipercayai dicabul dan didera.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, satu operasi menyelamat telah dibuat JKM Temerloh di pusat jagaan tersebut, 8 November lalu yang melibatkan pelindung-pelindung JKM.

Menurutnya, hasil siasatan awal semua kanak-kanak terbabit disyaki didera dan dicabul dan mereka juga telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

“Pusat jagaan itu menempatkan tujuh kanak-kanak perempuan dan 22 lelaki. Dua daripada mereka tidak mempunyai keluarga dan JKM akan memohon perintah mahkamah pada Isnin (esok) untuk menempatkan mereka ke institusi JKM manakala 27 yang lain telah diserahkan kepada keluarga masing-masing.

“Kes ini bermula dengan aduan seorang daripada penghuni pusat itu kepada polis. Susulan aduan tersebut polis membuat siasatan dan merujuk kanak-kanak itu untuk pemeriksaan hospital.

“Bagi melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 20 (1) dan Seksyen 17, JKM telah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk menyelamatkan kanak-kanak di pusat jagaan itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.