Seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, sehingga kini terdapat 4,374 orang lagi yang masih terkandas di 56 buah negara di seluruh dunia.

Menurut beliau, penerbangan kesemua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dibiayai kerajaan, parti politik dan pihak swasta.

"Setakat 31 Mac 2020, 3,201 rakyat Msia yang terkandas di luar negara berjaya kita bawa pulang melalui misi repartriasi yang diabiayai sepenuhnya oleh kerjaan, sumbangan parti politik seperti MIC dan pihak swasta seperti T7 Global Berhad dan Weststar Aviation Services," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.


Kamaruddin berkata, rakyat Malaysia yang paling ramai terkandas ialah di India dan dijangka dapat dikurangkan tidak lama lagi.

"Paling ramai terkandas ialah di India 2,156 orang. Jumlah mereka terkandas dijangka berkurang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas," tambah beliau.

Beliau berkata, Wisma Putra dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kewangan dan semua perwakilan luar negara giat melaksanakan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

"Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa definisi terkandas bermaksud warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti atau apa sahaja sebab dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

"Namun tiket penerbangan mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19," jelas beliau.

Negara lain yang turut merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas yang tinggi ialah Indonesia (680 orang), Australia (226 orang), New Zealand (153 orang), Thailand (337 orang), Arab Saudi (121 orang), Pakistan (128 orang), Filipina (54 orang), Sri Lanka (50 orang) dan Emiriah Arab Bersatu (43 orang).

Selain itu, 144 warganegara Malaysia tiba dari Myanmar pada jam 3.50 petang Selasa, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH 741.

"Meskipun kerajaan Myanmar secara amnya telah membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial ke negara tersebut berkuat kuasa 30 Mac 2020, Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines telah berkolaborasi dengan kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran khas
penerbangan pesawat dari Malaysia ini.

"Kedutaan kita di Yangon akan terus komited dan bekerja keras bagi memastikan kebenaran khas yang sama dapat diberikan pada masa akan datang bagi memastikan warganegara Malaysia di Myanmar dapat pulang ke Malaysia dengan segera," tambahnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara dan berhasrat untuk pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum syarikat-syarikat penerbangan menggantung operasi mereka atau penggantungan penerbangan dikuatkuasakan kerajaan di negara terlibat.