Kira-kira 3,468 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 61 buah negara setakat Jumaat ini.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, jumlah itu dilihat semakin tinggi dengan peningkatan ketara rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai.

Wisma Putra, kata beliau, sedang berusaha untuk menyelesaikan keadaan ini dan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

"Saya ingin jelaskan, usaha memudahcara kepulangan ini bukan mudah. Terdapat beberapa cabaran dan halangan yang perlu kita tempuhi memandangkan banyak negara telah mengisytiharkan ‘lockdown’ ekoran
penularan wabak COVID-19.

"Ekoran itu kerajaan Malaysia perlu berunding dengan kerajaan negara-negara terlibat bagi mendapatkan kelulusan pendaratan penerbangan," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Selain itu kata, Kamarudin memberitahu, kerajaan juga berdepan dengan masalah untuk membawa mereka pulang memandang pesawat komersial tidak dibenarkan untuk membuat penerbangan keluar masuk ke beberapa buah negara.

Dalam situasi ini, ujarnya, Malaysia perlu memohon kebenaran mendarat untuk pesawat sewa khas.

"Ingin saya jelaskan bahawasanya terkandas dalam konteks ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, urusan keluarga dan bercuti.

"Mereka mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka disebabkan pandemik COVID-19," kata beliau lagi.