Mayat seorang daripada tiga beradik yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, petang Rabu, ditemui pagi ini.

Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, ditemui jam 9.50 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dasar sungai, kira-kira 100 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Basri Kamarazaman, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

"Ketika ini pasukan SAR sedang meneruskan pencarian dua lagi mangsa di sungai ini," katanya di sini, pada Khamis.

BACA: Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu

BACA: Baju Melayu ungu jadi kenangan terakhir

Pada Rabu, tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka, sekitar jam 6 petang.

Selain Umar Iskandar, dua mangsa lagi ialah Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata radius pencarian semua mangsa diperluaskan kepada 500 meter dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

Katanya, operasi SAR yang memasuki hari kedua membabitkan 60 anggota SAR termasuk bomba, polis dengan dibantu penduduk kampung.