Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman telah menahan tiga warganegara asing yang disyaki anggota kumpulan pengganas the Liberation Tigers Of Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ketiga-tiga suspek yang ditahan dibawah Akta Imigresen itu, disyaki berusaha untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan LTTE khususnya di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek yang menyusup masuk ke Malaysia sejak tahun 2004, telah ditangkap di dalam sebuah operasi yang dijalankan secara serentak melibatkan beberapa lokasi di Petaling Jaya dan Klang pada 15 Mei lepas.

“Mereka menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebarkan propaganda dan berusaha untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan itu,” katanya di dalam satu kenyataan.

Khalid berkata polis turut merampas bahan propaganda kumpulan LTTE, peralatan media dan mata wang asing dari 24 negara bernilai RM20,176.53.

“Ketiga-tiga suspek dikesan menggunakan kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) untuk menetap di Malaysia dan mengelak dari diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Salah seorang daripada suspek memiliki permit pekerjaan atas sebuah syarikat yang tidak wujud,” katanya.

Khalid berkata pihak polis akan berkerjasama rapat dengan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur bagi memastikan anasir-anasir pengganas asing tidak mengeksplotasi kemudahan kad UNHCR untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi, berlindung dan menjalankan sebarang aktiviti keganasan samada yang boleh mengancam keselamatan Malaysia atau negara-negara luar.