Tiga sekeluarga maut manakala seorang melecur teruk apabila rumah mereka di Jalan Binjai, Pandamaran, Klang dekat sini terlibat dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Pua Yoke Moi, 70, Soon See Eng, 54, serta Ang Kar Hian, 22, yang juga merupakan orang kurang upaya.

"Kesemua mangsa ditemui di dalam dua bilik tidur berasingan di rumah berkenaan, Soon dan anaknya Ang ditemui dalam bilik yang sama manakala nenek mereka, Pua di sebuah lagi bilik tidur.

"Dalam kejadian ini juga seorang lagi lelaki Ang Cheng Kiat, 55, telah melecur sebanyak 50 peratus dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut manakala dua lagi anaknya berusia 27 tahun dan 30 tahun selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hafisham berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada kira-kira pukul 3.12 pagi tadi dan seramai 24 anggota dan tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Balai Bomba dan Penyelamat Andalas dikejarkan ke tempat kejadian.

"Jentera pertama tiba di lokasi pada kira-kira 10 minit kemudian dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.30 pagi, ketika pihak bomba tiba di lokasi, api telahpun marak berikutan rumah yang terlibat dibina menggunakan papan dan pihak kami berjaya mengawal api berkenaan dari merebak ke rumah-rumah berdekatan," katanya.

Hafisham berkata ketika pasukannya tiba di lokasi, tiga mangsa yang terselamat berjaya menyelamatkan diri dan berada di luar rumah manakala sebuah lagi rumah terlibat tidak berpenghuni kerana difahamkan keluar bercuti.

Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke HTAR Klang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA