Sekurang-kurangnya 30 individu ditahan dalam Op Mabuk yang dilakukan di empat lokasi di ibu negara sepanjang lapan hari operasi dijalankan bermula 26 Mei.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata jumlah tangkapan hingga semalam itu tertumpu di lokasi Jalan Hang Tuah, Jalan Hartamas, Jalan Kepong dan Jalan Klang Lama.

Dengan kekuatan 35 pegawai dan anggota, operasi itu dilaksanakan bertujuan memastikan keselamatan dan kelancaran trafik serta bebas dari pemandu mabuk.

Dalam operasi itu, tiga orang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45c Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana enggan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalani ujian alkohol, dikenakan denda RM2,000 atau penjara dua minggu.

Manakala 30 individu pula disiasat mengikut Seksyen 45a (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

"Mereka yang bawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol ini amat berbahaya dan akan menyebabkan orang lain jadi mangsa.

"Oleh itu, nasihat saya, guna kenderaan awam atau panggil adik beradik datang ambil, atau panggil kawan hantar pulang untuk elak perkara sebegini berlaku," kata Mazlan.

Tegasnya lagi, individu yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak digalak mengendalikan kenderaan.

Sebaliknya mengambil pendekatan lain yang tidak merisikokan nyawa kedua pihak, contohnya menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Sejak kebelakangan ini, banyak insiden kemalangan membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa.

Dua hari lalu, seorang penghantar makanan maut selepas dilanggar pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Kuala Lumpur.

Pada 3 Mei lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat Kajang, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Pada 1 Jun lalu pula, seorang penunggang motosikal cedera termasuk retak tempurung kepala selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong, Kangar, Perlis.

Pada 24 April lepas, dua lelaki ditahan polis selepas didapati melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan salah seorangnya didapati memandu kereta dalam keadaan mabuk di laluan Sungai Pari, Ipoh.

Semua kejadian itu berlaku ketika musim PKP di mana kawalan penguatkuasaan adalah sangat tinggi.

Mazlan ditemui di salah satu lokasi sekatan jalan raya di ibu negara malam tadi.