Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kurikulum pembelajaran di semua universiti di negara ini perlu fleksibel.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata ini adalah penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti dan selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

"Pihak universiti digalakkan untuk menggunakan gamifikasi (gamification) dan kecerdasan buatan untuk memastikan kurikulum atau silibus pengajian dibuat lebih fleksibel dan organik.

"Selain itu, ruang pembelajaran yang berbeza juga wajar disediakan serta pentaksiran pelajar tanpa peperiksaan," kata Idris.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Anuar Manap (BN - Sekijang) yang bertanyakan tentang apakah tahap persediaan universiti di seluruh negara dalam melahirkan graduan yang mahir selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Tambah Idris, Kementerian Pendidikan Tinggi juga menekankan kepentingan tiada tembok pemisahan antara industri dan akademik.

"Hubungan yang rapat ini penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan agar dapat menepati kehendak industri selepas mereka menjadi graduan," katanya.