Kerajaan bersetuju membenarkan pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti pengajian Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (Phd) untuk memulakan aktiviti akademik dengan segera di kampus semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu bakal melibatkan 31,503 pelajar.

"Kebenaran ini melibatkan 31,503 pelajar di 462 IPT (institut pengajian tinggi) yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Langkah itu juga dibuat selepas melihat kepada jumlah mereka yang terlibat bukan dalam pergerakan kumpulan yang besar.

"Kita kira mereka ini tidak ramai buat penyelidikan bagi kursus Masters dan Phd. Kita anggarkan satu IPT ada dalam 50 orang, jadi ia jumlah yang tidak besar," ujar beliau lagi.