Sebanyak 31 lagi kes jangkitan COVID-19 dilaporkan telah pulih dan dibenarkan discaj di negara ini setakat Selasa.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 5,646 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu sebanyak 37 kes baharu positif COVID-19 dikesan setakat 12 tengah hari, hari ini.

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,978 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,218 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 37 kes baru yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan di mana 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Jelas beliau, terdapat 11 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata satu lagi kematian dicatatkan di Malaysia akibat COVID-19 pada Selasa.

Tambahnya, statistik terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-114 (kes ke-6942) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan barah hati.

“Beliau telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang dan telah disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2020, jam 3.09 minit pagi,” ujarnya.