"Tarikh 31 Ogos tidak mempunyai kaitan dengan kita. (Tarikh) itu hanya Hari Kemerdekaan Semenanjung."

Itu pendapat Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing apabila dihubungi Astro AWANI untuk mengulas kenyataan kontroversi beliau berhubung sambutan 31 Ogos yang didakwa tiada kaitan dengan rakyat di negeri Sarawak.

Menurut James, negeri Sarawak mempunyai tarikh kemerdekaan pada 22 Julai setiap tahun kerana sambutan tarikh itu adalah lebih signifikan buat rakyat di negeri itu.

"Bagaimanapun, Hari Malaysia pada 16 September (setiap tahun) akan diraikan kerana ini adalah sejarah kita bergabung bersama Malaysia.

BACA: Tiada sambutan 31 Ogos di Sarawak? 'Umpama menidakkan hari jadi suami, isteri' - Jeniri

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata demikian dalam satu temu bual dengan Astro AWANI pada petang Selasa.

"Untuk meraikan 31 Ogos tidak perlu. Namun, sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, kita boleh menghantar delegasi untuk meraikan sambutan itu bersama orang Malaya," tambahnya.

Menurut James, beliau hanya ingin membetulkan fakta sejarah memandangkan pada 31 Ogos, 1957 Malaysia belum lagi ditubuhkan.

Orang Semenanjung yang berada di negeri itu boleh meraikan sambutan hari bersejarah itu pada 31 Ogos, katanya.

Aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang di sekolah-sekolah di Sarawak, beliau menjelaskan, tindakan itu perlu dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaya dan bukannya Malaysia.

"Jangan meletakkan Hari Kemerdekaan Malaysia ... itu salah. Kita memberi fakta salah kepada pelajar di Sarawak. Yang patut dilakukan adalah Jalur Gemilang itu pada Hari Kemerdekaan Malaya dan para guru boleh menerangkan kepada mereka.

Ditanya sama ada kenyataan ini akan mengguris perasaan rakyat Semenanjung, James terus mempertahankan kenyataannya itu kerana sejarah membuktikan Malaysia terbentuk dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Semenanjung pada tahun 1963.

Menurutnya, kenyataannya itu tidak akan menjejaskan hubungan baik antara Sarawak dan Semenanjung kerana kedua-dua pihak mempunyai hubungan akrab dan saling memahami antara satu sama lain.

"Marilah kita gunakan fakta sejarah yang benar berbanding sesuatu yang tidak tepat," tambah James.

Kenyataan James yang viral selepas diterbitkan di satu portal di Sarawak petang tadi, bagaimanpun bukan pendirian kerajaan negeri, kata sumber ketika dihubungi Astro AWANI.

"Ini tiada kaitan dengan kerajaan negeri ... sebarang maklumat berhubung perkara ini harus berhubung dengan James (sendiri)," katanya.