Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 315 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, tiga individu telah direman manakala 312 individu pula berdepan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti SOP, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, dan tidak memakai pelitup muka,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terus dipergiat menerusi Op Benteng yang melibatkan kerjasama beberapa badan penguatkuasa.

PDRM telah membuat sebanyak 64 sekatan jalan raya di seluruh negara dan telah memeriksa sebanyak 35,459 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di laluan lorong tikus.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah diarah untuk menjalani proses kuarantin wajib.

“Mereka telah pulang dari 24 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India.

“Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya lagi.

Tegasnya, pasukan pihak berkuasa, sentiasa giat menjalankan aktiviti pemantauan bagi memastikan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.