Polis menahan 33 individu termasuk seorang penganjur kerana disyaki terlibat dengan perjudian lumba kuda haram dalam satu serbuan di sebuah restoran di kawasan Sungai Buloh, dekat sini, pada petang Sabtu.

Pemilik restoran berusia 40 tahun ditahan bersama-sama 30 lelaki dan tiga wanita dipercayai ejen dan pemain pertaruhan semasa serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM25,787 beserta barang-barang yang digunakan untuk bermain judi.

Antara barangan itu ialah alat kelui (pager), keratan akhbar bahasa Cina yang memaparkan jadual lumba kuda, keratan kertas putih yang mempunyai catitan pertaruhan, kepingan jubin yang terdapat catitan pertaruhan, pen, marker pen dan telefon bimbit.

“Kesemua tangkapan dalam lingkungan umur 40 hingga 77 tahun dan bekerja sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan kesemua tangkapan akan direman untuk siasatan lanjut.