37 kes baharu positif COVID-19 dikenal pasti di negara ini yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling baru-baru ini.

Ini menjadikan keseluruhan kes positif COVID-19 yang dikenalpasti ada kaitan dengan perhimpunan tabligh tersebut adalah 77 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua 77 kes ini masih dirawat di hospital.

"Dengan pertambahan 37 kes baharu ini, 26 kes dikesan di Sabah, 11 kes di Negeri Sembilan, enam kes di Sarawak, Johor, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang masing-masing lima kes.

"Manakala tiga kes dikesan di Kelantan, dua kes di Perak, Labuan, Kedah dan Wilayah Persekutuan dan satu kes di Perlis," jelasnya.


Dr Noor Hisham turut memaklumkan, setakat 14 Mac, jam 7 petang, seramai 4,942 peserta menghadiri perhimpunan tabligh tersebut telah berjaya dikenal pasti.

"Daripada jumlah ini 3,069 telah datang ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan. Seramai 137 orang telah dirujuk ke hospital.

"Hanya 1,634 mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan telah diambil sampel.

"Manakala 2,932 peserta telah diarahkan bagi menjalani home surveillance (pemantauan di rumah) masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling," ujarnya.






Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu mengumumkan 41 kes terbaharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif adalah 238 kes.

Daripada jumlah itu, tiga kes adalah kontak rapat kepada kluster kes ke-33 yang dilaporkan sebelum ini dan satu kes mempunyai sejarah perjalanan ke Iran.

BACA: COVID-19: 41 kes positif baharu dicatat dari kluster tabligh Sri Petaling