Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

373 warga China yang diserbu Imigresen di Cyberjaya didakwa masuk secara haram

373 warga China yang diserbu Imigresen di Cyberjaya didakwa masuk secara haram
Hanya 321 daripada mereka yang mengaku bersalah manakala baki seramai 52 orang lagi tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Tengku Sharizam Tuan Lah. - Foto Astro AWANI
SEPANG: Seramai 373 warga China yang ditahan dalam satu serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di premis yang disyaki menjalankan operasi jenayah dalam talian di Cyberjaya pada 20 Nov lepas didakwa hari ini atas kesalahan memasuki dan berada di negara ini secara haram serta tidak mempunyai sebarang pas yang sah.



Bagaimanapun, hanya 321 daripada mereka yang mengaku bersalah manakala baki seramai 52 orang lagi tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Tengku Sharizam Tuan Lah.


Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara empat bulan bermula tarikh penahanan terhadap 290 tertuduh sementara 31 orang lagi didenda RM5,000 sebelum diusir keluar daripada negara.



Mengikut pertuduhan, kesemua suspek yang berusia 23 hingga 38 tahun melakukan kesalahan itu di Malaysian House Of Internet Sdn Bhd, Cyberjaya pada 20 November lalu pada jam 3.30 petang.



Selain itu mereka turut dikesan melakukan kegiatan penipuan ‘scam’ dalam talian yang berpusat di China yang disyaki beroperasi sejak enam bulan lalu.



Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 serta tidak lebih enam sebatan.



Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.

Pada 20 Nov lepas, Jabatan Imigresen menyerbu sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya kerana disyaki menempatkan ahli sindiket penipuan dalam talian, di mana 680 warga China ditahan, manakala lebih 100 orang lagi berjaya melarikan diri.



Tag: China, Imigresen, mahkamah, pendatang asing, jenayah, suspek, penjara, Malaysia, serbuan Cyberjaya, scam



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.