Pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek stesen Mass Rapid Transit Lembah Klang (MRT) Ampang Park boleh diteruskan kerana cabaran perundangan oleh 39 pemilik strata dan penyewa Pusat Membeli-Belah Ampang Park yang ikonik itu berhubung isu itu berakhir hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan oleh pemilik strata dan penyewa bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi semakan kehakiman.

Berdasarkan keputusan sebulat suara, Hakim Raus memutuskan bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh peguam Datuk Zainur Zakaria yang mewakili perayu bagi Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak memenuhi garis keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Malah jika kami membenarkan persoalan itu, tidak ada peluang persoalan yang dikemukakan itu diterima. Kami dengan ini menolak permohonan," kata beliau.

Beliau memerintahkan pemilik strata dan penyewa membayar kos sebanyak RM20,000 kepada responden pertama dan responden kedua - Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan dan membayar RM20,000 lagi sebagai kos kepada MRT Corp.

Mahkamah turut disidangi oleh dua orang lagi hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

Pada 8 Jan tahun lepas, 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa Pusat Membeli-Belah Ampang Park memfailkan tindakan undang-undang untuk membatalkan kelulusan merobohkan pusat membeli-belah itu untuk memberi laluan bagi pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah menghubungkan stesen MRT yang baharu ke stesen Transit Rel Ringan (LRT) Ampang Park.

Permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Jun tahun lepas selepas mahkamah memutuskan bahawa pengambilan tanah dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang, antaranya Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pemilik strata dan penyewa pusat membeli-belah itu gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 18 Jan tahun ini dan mereka kemudian memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Di bawah undang-undang, mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran bagi memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, seorang lagi peguam mewakili perayu, Jason Ng Kau berkata sudah tidak ada lagi saluran undang-undang bagi anak guamnya untuk seterusnya mencabar pengambilan tanah tersebut dan berkata peringkat seterusnya ialah bagi prosiding enkuiri tanah diteruskan berhubung pembayaran pampasan.

Peguam Robert Lazar yang mewakili MRT Corp memberitahu pemberita bahawa berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pengambilan tanah dan bangunan boleh diteruskan.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA