Lebih 4,000 pengunjung dicatatkan memasuki Pulau Langkawi dari dua laluan feri, Terminal Kuala Kedah dan Kuala Perlis, sepanjang tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom menjelaskan pihaknya kini terpaksa menambah satu lagi perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 8 pagi bermula Sabtu bagi memenuhi permintaan tinggi daripada orang ramai.

Menurutnya, penambahan perjalanan itu dilihat mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut yang terjejas teruk semasa PKP dan PKPB.

"Semua laluan masuk ke Langkawi akan ada dua perjalanan dari Kuala Kedah pada jam 10 pagi dan 4 petang, dari Kuala Perlis pada jam 8 pagi dan 4 petang.

"Untuk keluar dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis adalah pada jam 11 pagi dan 4 petang," kata Baharin.

Selain penambahan perjalanan feri, pihak Konsortium Ferry Line juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka lebih banyak perjalanan jika menerima permintaan khususnya bagi tempoh cuti hujung minggu dan cuti am termasuk sambutan Hari Raya Aidiladha penghujung bulan depan.

"Kami jangkakan pada sambutan Hari Raya Aidiladha nanti kemungkinan ada peningkatan permintaan pelancong ke Langkawi memandangkan kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai untuk pelancongan domestik.

“Jadi kami di Ferry Line akan membuat tambahan feri sehingga semua penumpang boleh masuk ke Langkawi pada cuti umum,” jelasnya.

Sebelum ini, konsortium itu hanya menyediakan satu perjalanan sahaja dari Kuala Perlis ke Langkawi iaitu pada jam 4 petang, manakala dari Langkawi ke Kuala Perlis dengan dua perjalanan iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang.

Penambahan satu perjalanan yang dibuat oleh pihak konsortium mampu memuatkan sekitar 600 sehingga 1,200 penumpang yang mana akan menambahkan bilangan pelancong ke Pulau Langkawi.