Kira-kira 4.2 juta Orang Kurang Upaya (OKU) dikesan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan statistik penduduk seramai 30.1 juta orang pada tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dianggarkan 4.5 juta orang terdiri daripada golongan itu, namun sehingga 31 Jan tahun ini, hanya 341,011 OKU berdaftar dengan JKM melalui Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).

Katanya, kegagalan berdaftar dengan jabatan itu sekali gus menutup peluang mereka untuk menikmati 25 keistimewaan yang diberikan kerajaan terhadap golongan tersebut.

"Ada tiga kemungkinan, satu, dia memang tak tahu dan dia tak buat apa-apa (daftar). Kedua, dia OKU tapi dia tak daftar...dan satu lagi adalah dia memang tak tahu bahawa dia adalah OKU.

"Kami di kementerian sentiasa turun padang menjejaki golongan sasar termasuk OKU ini dengan mengadakan 'roadshow' (jerayawara) antaranya melalui program 'Suara Anda Tanggungjawab Utama' (SATU)," katanya pada sidang media selepas melancarkan "Kasoot Wheelchair" di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Noorulhuda Mohamed Asli.

Rohani berkata antara 25 keistimewaan yang dinikmati golongan OKU adalah bantuan alat tiruan atau alat sokongan yang bertujuan membantu OKU yang tidak mampu untuk membeli kaki palsu dan tangan palsu, bantuan elaun pekerja cacat, OKU tidak bekerja dan bantuan penjagaan OKU terlantar atau pesakit kronik terlantar.

Bayaran separuh harga menaiki kereta api dan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dalam negara juga dinikmati OKU, katanya.

Dalam pada itu, "Kasoot Wheelchair" ialah sarung kerusi roda bagi membolehkan OKU berkerusi roda bersembahyang jemaah bersama makmum yang lain di ruang utama masjid.

Ia bertujuan melindungi dan mengalas kedua-dua roda supaya kekal bersih serta boleh digunakan di ruang utama dan rumah kediaman serta rumah ibadat kaum lain.

Sebanyak 46 masjid di Wilayah Persekutuan menerima "Kasoot Wheelchair" hari ini iaitu lima pasang masing-masing.