announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

4.3 juta batang rokok dengan anggaran cukai RM3.2 juta dirampas

4.3 juta batang rokok dengan anggaran cukai RM3.2 juta dirampas
Semua rokok disita di bawah peruntukan Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa lesen. - Gambar hiasan
KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas satu kontena mengandungi 4.3 juta batang rokok yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Senari di sini pada 4 Disember lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, keseluruhan rampasan adalah bernilai RM390,000 dengan anggaran cukai berjumlah RM3.2 juta.

“Semua rokok itu disita di bawah peruntukan Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa lesen. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan di dalam Sistem Maklumat Kastam (SMK), barangan tersebut dideklarasi sebagai pembersih cat kuku dan pembersih air, namun hasil siasatan lanjut, kontena terbabit didapati mengandungi 430 kotak rokok putih jenama Rave. 

Subromaniam berkata demikian pada satu sidang media di Wisma Kastam di sini pada Isnin.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, denda akan dikenakan tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam dan tidak lebih dari 20 kali ganda, atau hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berasingan, Bernama melaporkan, JKDM dijangka menggantung lesen 12 ejen penghantaran tidak lama lagi, yang disyaki terlibat membuat ikrar palsu berkaitan pelanggan mereka bertujuan membantu penipuan, penyeludupan barang atau melarikan cukai.

Subromaniam berkata, adalah mustahil bagi ejen-ejen ini untuk tidak tahu barang apa yang dibawa mereka, kerana salah satu daripada syarat lesen diberikan kepada mereka adalah, mereka perlu tahu pelanggan mereka.

Katanya, 12 ejen ini sedang disiasat kerana berdasarkan sistem demerit yang diperkenalkan jabatan sekitar April lepas, ejen-ejen ini disyaki melakukan banyak kesalahan, seperti meletakkan nama syarikat pelanggan yang tidak betul atau alamat pelanggan yang palsu.

“Banyak kali siasatan kita tergendala disebabkan isu nama dan alamat pelanggan ini, sebab itu cara terbaik ialah kita gantung atau batalkan lesen ejen-ejen ini, yang juga boleh menjadi amaran kepada ejen-ejen penghantaran yang lain,” katanya.

Menurutnya kebanyakan ejen-ejen ini beroperasi di pelabuhan di Johor, Pelabuhan Klang, Bukit Kayu Hitam, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.