Sebanyak 4.96 juta atau 20.3 peratus daripada 24.47 juta penduduk dalam umur bekerja di Malaysia pada 2018 adalah siswazah, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 7.6 peratus daripada 4.61 juta orang yang direkodkan pada 2017, dengan wanita merupakan siswazah teramai iaitu 2.61 juta orang, katanya.

Daripada jumlah itu, bilangan siswazah bekerja juga turut meningkat 8.2 peratus kepada 3.99 juta orang daripada 3.69 juta orang pada tahun sebelumnya.

"Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah adalah 83.6 peratus meliputi 4.15 juta orang, meningkat 0.3 peratus daripada 83.3 peratus atau 3.84 juta orang pada 2017.

Daripada jumlah itu, siswazah perempuan mendominasi dengan sumbangan 2.01 juta kepada alam pekerjaan berbanding siswazah lelaki seramai 1.97 juta orang," katanya ketika mengumumkan statistik siswazah 2018 di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata dari segi pengangguran, jumlah siswazah menganggur pada 2018 ialah 162,000 orang sementara kadar siswazah menganggur ialah 3.9 peratus, turun 0.1 mata peratus daripada 4.0 peratus pada 2017.

"Sebanyak 71.5 peratus siswazah menganggur adalah dalam kalangan mereka yang aktif mencari pekerjaaan dan sedia bersedia untuk dipanggil bekerja pada bila-bila masa,"katanya.

Mohd Uzir berkata sebahagian besar siswazah menganggur kurang daripada enam bulan manakala pengangguran jangka panjang iaitu lebih daripada setahun adalah pada kadar 8.4 peratus sahaja.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata bilangan siswazah di luar tenaga buruh meningkat 5.5 peratus daripada 769,000 orang pada 2017 kepada 811,000 orang tahun lepas.

Terpaksa menjalankan kerja rumah atau tanggungjawab kepada keluarga menjadi antara sebab paling signifikan mahasiswa berada di luar tenaga buruh pada 2018 ialah 34.5 peratus atau 280,000 dengan siswazah wanita menyumbang sebanyak 62.8 peratus.

"Sebab lain ialah masih belajar atau menghadiri program latihan, tidak berminat atau baharu tamat belajar, akan melanjutkan pelajaran, sudah bersara dan hilang upaya," katanya.

Beliau berkata siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa secara keseluruhan menerima penengah gaji dan upah bulanan sebanyak RM3,936 dan berdasarkan taburan mengikut aktiviti ekonomi, lebih dua pertiga atau 79.7 peratus tertumpu kepada sektor perkhidmatan.

Menurut Mohd Uzir, siswazah dalam laporan statistik tersebut ditakrifkan sebagai individu berumur 15 tahun dan ke atas dengan sijil tertinggi diperoleh dari universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf yang mana tempoh pengajian adalah tidak kurang daripada dua tahun.

-- BERNAMA