4 ditahan didakwa seleweng wang peruntukan hampir RM40 juta

4 ditahan didakwa seleweng wang peruntukan hampir RM40 juta
Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur di antara jam 4.30 dan 6 petang dalam satu operasi yang dilancar SPRM. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang yang bergelar Datuk selepas disyaki terlibat dalam penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Mereka yang ditahan terdiri daripada Ketua Eksekutif PTPK, 58 tahun; Setiausaha PTPK, 34; Penolong Pegawai Kewangan PTPK, 32; dan seorang pengarah sebuah syarikat bergelar Doktor, 38.

Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur di antara jam 4.30 dan 6 petang dalam satu operasi yang dilancar SPRM.

Ketiga-tiga pegawai PTPK berkenaan dipercayai bersubahat dengan pengarah syarikat tersebut untuk penyeleweng wang yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengendalikan program-program latihan kemahiran kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.
Menurut sumber, maklumat awal yang diperoleh, keempat-empat mereka dipercayai telah menyeleweng hampir RM40 juta pada tahun 2016 dan 2017.

Katanya, pada tahun 2016, kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta manakala RM40 juta pada tahun ini untuk mengendalikan program-program latihan tersebut.

“Siasatan awal mendapati pada tahun 2016, mereka telah menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketiga-tiga pegawai itu juga telah berpakat dengan pengarah syarikat tersebut dan meluluskan 15 syarikat miliknya untuk mengendalikan program-program tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata pihaknya sedang mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.

Beliau juga berkata pihaknya akan memanggil saksi-saksi untuk mengambil keterangan dalam masa terdekat dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap untuk membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenal pasti saksi-saksi yang perlu dipanggil untuk tampil membantu siasatan dalam masa terdekat,” ujar beliau.