Selepas 17 tahun sebuah fatwa yang mengharamkan penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan, masih ada yang mengharapkan larangan itu mungkin dapat dipertimbangkan semula.

Harapan paling tinggi datangnya daripada penganjur pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013, Datuk Anna Lim, selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Khamis.

Anna memberitahu Astro Awani bahawa perbincangan tersebut berkisar tentang nasib empat finalis beragama Islam yang digugurkan daripada menyertai pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 baru-baru ini.

Anna turut berkata beliau telah menyerahkan senarai aturcara untuk pertandingan itu yang bakal diadakan di Jakarta pada bulan September ini kepada Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali, semasa perbincangan tersebut.

“Saya telah memaklumkan Che Mat bahawa peserta-peserta pertandingan ratu cantik Miss World di Jakarta tidak dibenarkan memakai bikini.

“Saya telah menerangkan kepada beliau bahawa semasa pertandingan peragaan pakaian pantai, gadis-gadis yang bertanding akan menggantikan bikini dengan pakaian yang lebih sesuai dan mengenakan kain sarung untuk menutup bahagian badan mereka.

“Che Mat kemudian bertanya kepada saya bilakah hari penamaan Miss Malaysia dan adakah ia terlalu lewat untuk membuat sebarang ‘keputusan’?

“Saya menjelaskan bahawa pusingan akhir Miss Malaysia akan diadakan pada 2 Ogos. Che Mat berkata beliau akan membincangkan perkara ini dengan Jawi dan akan memberikan jawapan kepada saya samada keempat-empat peserta Islam tersebut masih boleh bertanding dalam Miss Malaysia World 2013,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan pada Jumaat melaporkan bahawa Che Mat akan mengumumkan keputusan kepada umum minggu hadapan.

Pada Jun tahun ini, penganjur Miss World memaklumkan bahawa peserta ratu cantik dunia tidak akan mengenakan bikini dalam acara itu bagi mengelak tentangan masyarakat Islam di Indonesia.

137 peserta wanita yang mengambil bahagian dalam acara itu akan menggantikan bikini dengan pakaian yang lebih sesuai seperti mengenakan kain sarung sewaktu peragaan pakaian pantai.

Sebelum ini wujud sebuah fatwa yang diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 8 Februari 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang melarang orang Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Fatwa itu menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.

Empat finalis Miss Malaysia World - Sara Amelia Bernard, Wafa Johanna De Korte, Miera Sheikh dan Kathrina Ridzuan - digugurkan daripada pertandingan itu selepas menerima kritikan dari Mufti Wilayah Persekutuan Wan Zahidi Wan Teh bahawa penyertaan mereka dianggap "berdosa".

Pada Julai 23, bahagian penguatkuasaan Jawi telah membuka kertas siasatan berhubung keempat-empat peserta tersebut mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam.

Di bawah Seksyen 7, Akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pada 1997, dua peserta pertandingan Miss Malaysia Petite telah dikenakan denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 9 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa denda RM3,000 atau dua tahun penjara maksimum jika sabit kesalahan.

Di Selangor, tiga peserta lain dari ratu cantik yang sama telah dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar fatwa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 2 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang juga membawa hukuman yang sama.