Pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini di Perdana Putra melengkapkan teka teki siapakah anak Sarawak yang bakal menyandang jawatan Menteri di peringkat Pusat.

Pengumuman dibuat selepas lebih seminggu Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Turut tersenarai empat pemimpin dari Sarawak yang memegang portfolio berasingan.

Mereka adalah Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

Semestinya tugas yang dipikul tidak mudah kerana harapan besar rakyat Bumi Kenyalang kini disandar pada mereka.

Namun dengan pengalaman yang dimiliki pemimpin ini diharap dapat menjadi ‘suara’ buat negeri itu di peringkat pusat.

Ini perkara yang anda perlu mengenai mereka:

1. Datuk Seri Fadillah Yusof

Datuk Seri Fadillah Yusof dilahirkan di Kampung Hilir Sibu pada 17 April 1962. Beliau merupakan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen Petra Jaya.

Selain menjawat jawatan Naib Yang Di Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), beliau juga pernah memegang dua portfolio dalam Kabinet Persekutuan iaitu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2008 sehingga 2013) dan Menteri Kerja Raya (sehingga Mei 2018).

Kini, sekali lagi dipillih, kali ini memegang portfolio Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya.

2. Datuk Alexander Nanta Linggi

Datuk Alexander Nanta Linggi dilahirkan pada 16 Jun 1958. Beliau merupakan Ahli Parlimen Kapit dan juga Setiausaha Agung bagi GPS.

Alexander pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula 16 Mei 2013 sehingga 10 Mei 2018.

Selain itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Kapit sejak 1999 mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Untuk kerusi tersebut, Alexander pernah menang dua kali tanpa bertanding iaitu pada 2004 dan 2008.

Kini dipilih memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

3. Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Dilahirkan pada 1 Februari 1946, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mula menyertai politik sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar (1990-2004).

Selepas itu, beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Santubong (2004- sehingga kini) mewakili PBB
di awal kerjayanya, beliau pernah menjadi Ketua Platun Pasukan Polis Hutan berpangkat Inspektor dan aktif sebagai Presiden Persatuan bekas polis Malaysia (PBPM) Sarawak.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai peguam.

Pada 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Seterusnya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri untuk Kabinet Malaysia 2013 hingga 2015.

Beliau yang membesar di Kampung Pendam, Sadong itu juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dari 28 Julai 2015 sehingga 10 Mei 2018.

Beliau pernah mendapat pendidikan tinggi di England dan Amerika Syarikat dan memperolehi Ijazah Doktor Pengurusan Perniagaan (DBA) dari University of Southern California, Amerika Syarikat.

4. Datuk Seri Nancy Shukri

Datuk Seri Nancy Shukri dilahirkan di Kuching pada 5 Ogos 1961 dan merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong.

Beliau juga merupakan Naib Ketua Wanita 1 PBB yang merupakan satu daripada empat komponen GPS.

Beliau pernah memegang portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 sehingga 2018.

Antara lain pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Perkhidmatan Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selama 11 tahun.

Seterusnya sebagai Setiausaha Politik kepada mantan Ketua Menteri yang kini merupakan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang berketurunan Iban-Cina-Scotland-Melayu-Melanau merupakan pemegang Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM-Universiti Ohio pada 1998.

Beliau turut memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull United Kingdom pada 1990 dan Diploma Pentadbiran Awam UiTM pada 1985.

Kini, Nancy dipilih untuk menjawat peranan sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Selain 4 Menteri ini, terdapat 7 lagi pemimpin Sarawak yang memegang jawatan Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet itu.


Berikut adalah senarai barisan Kabinet yang telah diumumkan Perdana Menteri pada Isnin:

Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Timbalan Menteri: Datuk Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)

Menteri Kanan - Menteri Pertahanan: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

Menteri Kewangan: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri I: Datuk Abd. Rahim Bakeri

Timbalan Menteri II: Mohd Shahar Abdullah

Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya: Datuk Seri Fadillah Yusof

Timbalan Menteri: Datuk Dr Shahruddin Md Salleh

Menteri Kanan: Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin

Timbalan Menteri I: Datuk Dr Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri II: Muslimin Yahaya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi): Datuk Seri Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri: Arthur Joseph Kurup

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas): Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof

Timbalan Menteri: Datin Mastura Yazid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang): Datuk Takiyuddin Hassan

Timbalan Menteri: Datuk Eddin Syazlee Shith

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama): Datuk Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri (akan dilantik sebagai senator)

Timbalan Menteri: Ahmad Marzuk Shaary

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak): Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili

Timbalan Menteri: Datuk Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan: Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong

Timbalan Menteri: Hasbi Habibollah

Menteri Alam Sekitar: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Menteri: Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (akan dilantik sebagai senator)

Menteri Sumber Manusia: Datuk Seri Saravanan Murugan

Timbalan Menteri: Haji Awang Hashim

Menteri Wilayah Persekutuan: Tan Sri Annuar Musa

Timbalan Menteri: Datuk Seri Dr Santhara Kumar

Menteri Wanita dan Keluarga: Datuk Seri Rina Mohd Harun

Timbalan Menteri: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi: Datuk Dr Noraini Binti Ahmad

Timbalan Menteri: Datuk Dr Mansor Othman

Menteri Tenaga dan Sumber Asli: Datuk Dr Shamsul Anuar Hj Nasarah

Timbalan Menteri: Ali Biju

Menteri Dalam Negeri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said

Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan: Datuk Seri Dr Adham Baba

Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah

Timbalan Menteri II: Datuk Che Abdullah Mat Nawi

Menteri Pembangunan Luar Bandar: Datuk Dr Abd Latiff Ahmad

Timbalan Menteri I: Datuk Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri II: Datuk Henry Sum Agong

Menteri Luar Negeri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri: Datuk Kamaruddin Jaffar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Datuk Alexander Nanta Linggi

Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid

Menteri Komunikasi dan Multimedia: Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Zuraida Kamaruddin

Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abd Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi: Khairy Jamaluddin

Timbalan Menteri: Ahmad Amzad Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Datuk Seri Dr Hj Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Timbalan Menteri: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng

Timbalan Menteri II: Willie Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan: Datuk Seri Nancy Shukri

Timbalan Menteri: Datuk Dr. Jeffrey Kitingan

Menteri Perpaduan Negara: Datuk Halimah Mohamed Sadique

Timbalan Menteri: Datuk Seri Tiong King Sing

Menteri Belia dan Sukan: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Timbalan Menteri: Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal (akan dilantik sebagai senator)