40,000 burung pemangsa bermigrasi melalui Tanjung Tuan tahun lalu

40,000 burung pemangsa bermigrasi melalui Tanjung Tuan tahun lalu
Salah satu sebab Tanjung Tuan, Port Dickson amat popular kalangan burung-burung tersebut kerana lokasinya adalah bahagian paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera. - Facebook Malaysian Nature Society
ALOR GAJAH: Kira-kira 40,000 burung bermigrasi ke utara direkodkan tahun lalu menerusi aktiviti melihat burung pemangsa atau Raptor Watch di pekarangan Rumah Api Tanjung Tuan, di sini.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata fenomena itu hanya berlaku setahun sekali iaitu burung-burung tersebut berhijrah dari kawasan sejuk ke kawasan yang lebih panas.

Beliau berkata, 95 peratus daripada spesies burung pemangsa itu ialah Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), manakala lain-lain spesies yang dapat dilihat ialah Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard).

"Sejak 20 tahun penganjuran acara ini telah menjadi antara aktiviti alam semula jadi yang terbesar di Malaysia dengan kerjasama erat kerajaan negeri Melaka dan Negeri Sembilan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat dan mempelajari tentang habitat haiwan berkenaan.
"Salah satu sebab Tanjung Tuan, Port Dickson amat popular kalangan burung-burung tersebut kerana lokasinya adalah bahagian paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera, Indonesia yang membekalkan thermal column iaitu ruang-ruang panas kepada burung-burung tersebut sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga untuk terbang dan ia telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 'Raptor Watch 2019 'di sini, pada Sabtu.

Program itu dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck mewakili Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Ahmad berkata pihak persatuan juga sentiasa berusaha untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat termasuk menggalakkan pelajar supaya bersama melindungi dan menjaga alam sekitar sambil menyertai aktiviti tersebut.

Sementara itu , Gue berkata acara tersebut dilihat sebagai platform kepada pemerhati burung bagi mengumpul maklumat saintifik mengenai raptors dan habitatnya yang turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan Melaka.

"Burung-burung ini datang dari Tanjung Rupat, Sumatera, Indonesia dan singgah di Port Dickson sebelum terbang ke kawasan utara seperti Siberia, Korea Selatan dan Jepun yang mengalami musim sejuk pada Oktober.

"Sudah tentu program ini menarik minat ramai pengunjung sekali gus membantu menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negeri ini," katanya.

-- BERNAMA