Seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan sebelum bermulanya penggal baharu persidangan DUN di Wisma Seri Pahang, di sini, hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Datuk Seri Ishak Muhammad yang dipilih semula menduduki jawatan berkenaan, selepas dilantik buat kali pertama pada Julai 2013.

Majlis angkat sumpah itu dimulai oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga ADUN Jelai, diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta ADUN lain.

Terdahulu, Wan Rosdy mengemukakan nama Ishak untuk dipilih semula sebagai Speaker dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Majlis angkat sumpah diteruskan dengan ADUN Jenderak Datuk Seri Mohamed Jaafar yang dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN.

Nama beliau dicadangkan oleh Wan Rosdy dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, pemilihan Ishak yang juga bekas ADUN Bebar selama empat penggal dan bekas Exco Kerajaan Negeri itu berikutan pengalaman luasnya dan prestasinya yang cemerlang sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Barisan Nasional (BN) kekal menerajui Pahang selepas menang 25 daripada 42 kerusi DUN diikuti PKR (sembilan kerusi) dan Pas (lapan kerusi).