Sebanyak 44 kawasan di tiga daerah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air berikutan purata hujan yang rendah di hulu Sungai Melaka sejak kebelakangan ini.

Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya malam tadi berkata situasi itu mengakibatkan paras air di kolam tadahan serta Sungai Melaka berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

"Loji Air Sebukor telah mengurangkan operasi sebanyak 22 juta liter sehari (MLD) dan Loji Air Bertam berkurangan sebanyak 34 MLD serta menyebabkan beberapa kawasan di tiga daerah terjejas.

"Bagaimanapun, kita telah melepaskan air dari Empangan Durian Tunggal ke Sungai Melaka bagi memastikan paras Sungai Melaka lebih stabil kira-kira pukul 9.20 malam semalam dan operasi loji telah dijalankan seperti biasa pada pukul 11.30 pagi tadi," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu kawasan terjejas bagi daerah Melaka Tengah ialah Lorong Pandan, Kesidang, Kampung Lapan, Kota Laksamana, Semabok, Bachang, Batu Berendam, Taman Sayang Selasih, Limbongan, Klebang Besar, Ujong pasir (dijangka), Kandang, Padang Temu, Bukit Godek, Taman Seri Duyong, Taman Sri Duyong Seksyen 1, 2 dan 3, Taman Desa Duyong, Permatang Pasir, Bukit Lintang dan Alai.

Daerah Jasin melibatkan Kampung Jus, Selandar, Kampung Bukit Senggeh, Felda Bukit Komeng, Felda Sri Kemendor, Felda Air Kangkung, Taman Sri Kemendor, Kampung Sri Kesang, Jalan Selandar Permai, Taman Jus Perdana, Taman Selandar Indah, Taman Pelangi, Taman Sri Selandar, Taman Selandar Murni, Kampung Baru Selandar, Taman Bukit Senggeh, Institut Latihan Perindustrian Selandar dan Kolej Komuniti.

Bagi daerah Alor Gajah pula ialah Bukit Bulat, Menggong, Melaka Pindah, Machap Umboo, Pengkalan dan Hutan Percha.


SAMB berkata bantuan tangki air akan digerakkan ke kawasan yang telah terputus bekalan air melebihi 24 jam dan pihaknya sedang giat menstabilkan semula kolam tadahan yang terjejas bagi memastikan bekalan air sampai ke setiap premis pengguna.

Katanya kerjasama pengguna sepanjang tempoh gangguan adalah amat dihargai dan SAMB memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan Pusat Khidmat Pelanggan SAMB yang beroperasi 24 jam di 15800 atau klik https://kliksini.my/PKPSAMB untuk aduan dan pertanyaan melalui SMS/Whatsapp.

-- BERNAMA