Daerah Melaka Tengah, Melaka menjadi kawasan terbaharu yang dikategorikan sebagai zon merah COVID-19, ia menjadikan jumlah keseluruhan zon tersebut meningkat kepada 26 kawasan di seluruh negara setakat 12 tengah hari Jumaat.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), daerah tersebut mencatatkan 44 kes positif pandemik tersebut.


Selain Melaka Tengah, dua lagi daerah yang diklasifikasikan sebagai zon merah adalah Alor Gajah (28 kes); dan Jasin (61 kes), menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu adalah 133 kes.

Daerah Lembah Pantai (Kuala Lumpur) kekal merekodkan kes positif COVID-19 tertinggi dengan 427 kes, diikuti Hulu Langat dan Petaling (Selangor) masing-masing 368 dan 328 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.