Sebanyak 463 sekolah rendah dan menengah di Kuching dan Samarahan, Sarawak ditutup pada Khamis akibat jerebu teruk.

Sejumlah 184,808 pelajar terjejas dengan jerebu yang mencecah bacaan pencemaran udara lebih 200, iaitu tahap sangat tidak sihat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata semua sekolah terbabit boleh beroperasi seperti biasa jika tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) turun ke bawah paras 150.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan juga memantau perkembangan jerebu di negeri lain dan memastikan pelajar tidak terdedah kepada jerebu.

Beliau ditemui semasa sidang media selepas majlis perjumpaan bersama pengetua dan guru besar serta warga pendidik negeri Sabah di Wisma MUIS, pada Khamis.