NATIONAL
47 pelajar sekolah agama di Jitra cirit-birit keracunan makanan

Kelihatan ambulans bergerak keluar selepas pegawai perubatan memberi rawatan kepada 47 pelajar yang mengalami keracunan makanan di Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Alor Biak, hari ini. - Foto Bernama
Seramai 47 pelajar Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah di sini, mengalami sakit perut, loya, muntah dan cirit birit selepas disyaki mengalami keracunan makanan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail hari ini berkata daripada jumlah itu 15 daripada mereka adalah lelaki dan 32 perempuan, membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam sekolah berkenaan dengan kes pertama kira-kira 11 malam semalam.
"Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu telah menerima notifikasi kejadian keracunan makanan di Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Kubang Pasu, kira-kira 12 tengah hari.
"Pelajar-pelajar ini disyaki makan daging masak kari yang disyaki tidak dimasak dengan sempurna semasa makan malam (15 Jan) menyebabkan mereka mengalami simptom sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
"Semua pesakit dirawat secara pesakit luar. Tiada kes dimasukkan ke wad," katanya.
Dr Norhizan berkata, pemeriksaan ke atas dewan makan sekolah terbabit mendapati keadaan premis berada dalam keadaan bersih dengan rating semasa adalah 93.1 peratus.
"Langkah kawalan yang kita ambil ialah pendidikan kesihatan kepada guru-guru, dan pelajar-pelajar sekolah berkenaan berdasarkan prinsip lihat, hidu dan rasa.
"Pengusaha dewan makan juga diberi amaran dan tunjuk ajar berkaitan kaedah penyediaan makanan terutamanya pengendalian bahan mentah dan proses memasak makanan yang sempurna.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami