Seramai 5,000 pengunjung dijangka mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 peringkat negeri Perak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hua 2 di sini, 25 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pelbagai acara menarik diadakan sepanjang program itu yang akan bermula pada pukul 7 malam.

Beliau berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka berkenan berangkat ke majlis itu.

"Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan kepimpinan kerajaan negeri turut dijangka hadir ke majlis itu yang bertujuan meraikan masyarakat Tionghua di sekitar daerah Batang Padang serta kawasan yang berhampiran," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Mah yang juga Pengerusi MCA negeri berkata pertunjukan kaligrafi Cina, persembahan tarian singa dan naga serta pelbagai juadah makanan turut disediakan untuk pengunjung pada malam berkenaan.

Tambah beliau, perkhidmatan bas ulang alik turut disediakan untuk kemudahan pengunjung yang hadir.

-- BERNAMA