Seramai 5,300 penjawat awam di Melaka bakal menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 yang akan dibayar pada Disember depan.

Berita gembira yang membabitkan peruntukan sebanyak RM5.3 juta itu diumumkan Ketua Menteri, Adly Zahari ketika membentangkan Belanjawan 2020 negeri hari ini.

Menurut Adly, bantuan khas berkenaan diberikan sebagai tanda terima kasih kepada penjawat awam di atas komitmen yang ditunjukkan mereka dalam menjalankan dasar-dasar negeri seterusnya membawa kepada kemajuan di negeri itu.

“Melaka ini setelah Pakatan Harapan mengambil alih memang penjawat awam menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Banyak dasar-dasar kerajaan negeri dan manisfesto kerajaan negeri dapat diterjemahkan ini sebenarnya adalah hasil usaha pentadbiran awam itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Dalam pada itu, mengulas laporan audit berkenaan hutang awam negeri, Adly berkata, kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan hutang awam negeri sebanyak RM10 juta tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam kenyataannya mengulas, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Melaka 2018 mendapati tunggakan bayaran balik hutang awam meningkat RM56.69 juta kepada RM516.67 juta tahun lepas berbanding RM459.95 juta pada 2017.

Berdasarkan laporan itu, jumlah hutang awam kerajaan negeri menurun RM3.6 juta atau 0.4 peratus, tahun lalu kepada RM839.69 juta, berbanding RM843.29 juta pada 2017.