Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

5 perkara anda perlu tahu mengenai pengasingan sisa pepejal di punca

5 perkara anda perlu tahu mengenai pengasingan sisa pepejal di punca
Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan jika didapati enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bermula 1 September 2015, kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara berperingkat.

Pelaksanaan ini adalah berdasarkan peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan jika didapati enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun ini.

Berikut lima perkara yang anda perlu tahu mengenai pelaksanan pengasingan sisa pepejal di punca:
1. Apa itu pengasingan sisa pepejal di punca?
 
Pengasingan sisa pepejal di punca (SAS) adalah proses mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal seperti kertas, plastik, lain-lain bahan kitar semula (kaca/seramik, tin aluminium/besi/logam, sisa elektronik/barang elektrik lain, bahan fabrik/kasut/getah/kulit dan sisa berbahaya) dan sisa baki (sisa makanan, lampin pakai buang dan sisa lain yang kotor).

BACA: Kitar semula sisa makanan: Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan
Kitar semula, apa yang boleh dan yang tidak boleh. - Foto Astro AWANI
2. Mengapa kerajaan ingin melaksanakan pengasingan sisa pepejal?

Di Malaysia, dianggarkan jumlah bahan-bahan kitar semula yang dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap tahun adalah sebanyak 2.3 juta tan dengan anggaran nilai mencecah RM900 juta.

Pada tahun 2013, jumlah penjanaan sisa negara meningkat kepada 33,000 tan sehari, berbanding 19,000 tan sehari pada tahun 2005.

Ini bermakna purata pertambahan janaan sisa pepejal setahun secara linear ialah 6.7 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding purata kadar pertambahan di peringkat global iaitu 3 peratus sahaja.

Ini juga bermakna kadar pertambahan amaun sisa pepejal negara adalah dua kali ganda daripada sepatutnya.

Sebagai negara maju, Malaysia sepatutnya mencapai 22 peratus kadar kitar semula pada tahun 2020 seperti dicatatkan oleh negara maju lain iaitu Jerman 62 peratus, Austria 68 peratus, Taiwan 60 peratus dan 59 peratus kadar kitar semula di Singapura.

Namun buat masa ini, hanya 17.39 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mengamalkan aktiviti kitar semula, walaupun kerajaan telah memperkenalkan program pengasingan sisa pepejal di punca sejak 1 September 2015.


3. Bagaimana melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca?

Secara mudahnya, sisa pepejal hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh dikitar semula dan sisa baki.

Sisa baki merupakan sisa pepejal isi rumah yang tidak boleh dikitar semula seperti sisa makanan dan sisa-sisa kotor.

Sisa baki ini perlu diikat kemas dan diletakkan dalam tong sampah yang disediakan. Sisa ini akan dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Sisa pepejal yang boleh dikitar semula perlu diasingkan mengikut jenis sisa pepejal seperti berikut:

a. Kertas - surat khabar, majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas komputer, kertas A4, kertas berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod, kalender, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan pos. 

b. Plastik - botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas makanan, bekas sabun cecair mandian, botl syampu, botol makanan kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, ,beg plastik, bekas ais krim dan lain - lain jenis plastik. 
 
c. Lain-lain bahan kitar semula iaitu:
    
i. Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca  dan sebagainya. 
ii. Tin aluminium/besi/logam lain -  tin minuman ringan, tin makanan dan sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk senduk dan sebagainya. 
iii. Sisa elektrik/barang elektrik kecil - bateri, kalkulator, telefon bimbit, peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur elektrik dan sebagainya. 
iv. Bahan fabrik/kasut/getah/kulit - kasut, beg tangan, pakaian, sarung tangan dan sebagainya. 
v. Sisa berbahaya - bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai-anai dan sebagainya.

Sisa kitar semula ini perlu diletakkan dengan kemas di tepi tong pada hari kutipan.

Bagi memudahkan pengasingan sisa pepejal dilaksanakan di rumah, orang ramai digalakkan menyediakan apa-apa bekas yang bersesuaian seperti kotak atau bakul sampah untuk mengasingkan sisa.

4. Bilakah kutipan dibuat ke atas sisa pepejal yang telah diasingkan?

Bagi sisa pepejal yang telah diasingkan seperti kertas, plastik, lain-lain bahan kitar semula, kutipan akan dibuat sekali seminggu. Kutipan ini juga akan dibuat bersekali dengan kutipan sisa pukal dan sisa kebun. Manakala, sisa baki pula, kutipan akan dibuat dua kali seminggu.

Kutipan dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh pihak kerajaan. Jadual kutipan akan dipaparkan pada papan tanda jadual perkhidmatan di kawasan masing-masing.

5. Apa berlaku sekiranya gagal mengasingkan sisa pepejal di punca?

Denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 akan dikenakan mengikut Akta 672, jika didapati enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal berkuatkuasa 1 Jun ini.

Bagi premis bertanah, kadar kompaun RM50 dikenakan bagi kesalahan pertama, RM100 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.

Bagi premis bertingkat, kadar kompaun yang dikenakan ke atas Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi kesalahan pertama adalah sebanyak RM100, RM200 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.