Hari ini genap 5 tahun hari peringatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Sudah tentu terlalu banyak air mata, jerih payah pengorbanan mahupun tekanan psikologi yang ditanggung semua pihak, terutamanya waris keluarga MH370 yang tidak pernah putus harap memburu jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Astro AWANI yang cuba menyelami kisah di sebalik kehilangan MH370, mendengar isi hati Intan Maizura Othman, 38 tahun, iaitu isteri kepada Mohd Hazrin Hasnan yang merupakan sebahagian daripada kru pesawat berkenaan.

Tabah dan redha sejak kejadian itu membuatkan Intan terus memujuk dirinya supaya kuat meneruskan kehidupan, meskipun persoalan di benak fikirannya belum bertemu noktah.

"Saya faham bukan mudah Kerajaan Malaysia untuk selesaikan isu ini. Tetapi saya harapkan agar kebenaran itu muncul dan beritahu kami perkara sebenar.

"Macam mana, di mana, kenapa, siapa di sebalik kejadian ini. Kalau suami saya masih hidup, cakap hidup. Kalau dah tiada, cakap dah tiada. Itu sebenarnya saya dan semua waris hendak tahu," jawabnya dalam nada sayu.

Intan bercakap kepada media di ibu negara, dalam satu majlis peringatan 5 tahun kehilangan pesawat MH370 pada Ahad.

ma tahun insiden pesawat MH370 di ibu negara - Astro AWANI/ Fareez Azman

Lebih memilukan, anak kedua Intan, Muhammad Mohd Hazrin, 5 tahun, tidak pernah berjumpa bapanya sejak dilahirkan.

Apabila ditanya: "Kalau boleh jumpa Papa, apa Muhammad nak cakap dekat Papa?"

Anak kecil itu dengan mimik dan nada suara sedih menjawab: "Muhammad sayang Papa, Muhammad rindu Papa."

Luahan jujur itu membuatkan semua yang berada di majlis tersebut berlinang air mata. Ternyata sosok tubuh kecil itu tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Tetapi ungkapan itu sudah cukup jelas betapa rindunya Muhammad terhadap ayahnya.

Menurut Intan, Muhammad kerapkali bertanya kepada beliau: "Mama, Papa dah meninggal ke?", namun tiada jawapan jelas dapat diberikan kepadanya.

Hanya berbekalkan gambar Hazrin, kerinduan Muhammad terubat seketika.

Di sebalik air mata Intan yang entah kali ke berapa gugur, sudah tentu yang paling utama buat dirinya, adalah untuk mendapatkan pengakhiran muktamad tentang insiden misteri tersebut.



Narendran berkongsi cerita kepada hadirin tentang isteri yang dikasihinya. - Astro AWANI/Fareez Azman


Rasa kehilangan

Seorang lagi waris kami dekati ialah KS Narendran, 55 tahun, yang datang dari Chennai, India, semata-mata untuk bersama waris keluarga yang lain bagi memperingati ulang tahun kelima peristiwa pilu tersebut.

Sepi tanpa isterinya, Chandrika Sharma, 51 tahun, yang merupakan salah seorang penumpang MH370, terlalu membekas hingga telah mengubah hidupnya.

Sejak insiden itu, beliau tidak pernah terlepas daripada dibelenggu rasa kehilangan setiap kali mendengar berita berkaitan pesawat itu.

"Lima, atau lima belas atau lima puluh tahun... pertanyaan saya ini tidak akan terkubur. Realitinya, kita perlu meneruskan kehidupan. Kita perlu menjaga keluarga dan sebagainya.

"Tetapi untuk menjadi seorang produktif bukan sesuatu yang mudah. Kadangkala apabila terfikir mengenai isteri, emosi saya akan terganggu," ujar Narendran yang cuba menyembunyikan sebak di sebalik tenangnya.

Justeru jelasnya, beliau tidak pernah putus asa mengharapkan agar kebenaran berkenaan kehilangan pesawat itu akan diketahui suatu masa nanti.

Malah, beliau sudah lapan kali datang ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri majlis peringatan serta memberi sokongan kepada waris keluarga lain.

"Memang penat, kecewa dan kadangkala rasa seperti ada sesuatu yang tidak pernah selesai.

"Persoalan besar tidak terjawab. Memang bukan mudah untuk putus asa. Itu sebab saya selalu datang ke Malaysia," katanya.