Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

5 tip untuk peniaga bazar Ramadan mulakan perniagaan e-bazar

5 tip untuk peniaga bazar Ramadan mulakan perniagaan e-bazar
Konsep bazar digital ataue-Bazar boleh diwujudkan bagi menggantikan bazar Ramadan. -Gambar hiasan/pexels
SEPERTIMANA yang kita ketahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengakibatkan perniagaan bazar Ramadan secara fizikal besar kemungkinan terpaksa dibatalkan tahun ini.

Apa yang lebih menyedihkan apabila peniaga bazar Ramadan banyak yang belum bersedia untuk menghadapi situasi ini.

Memandangkan masa juga sangat singkat untuk menghadapi bulan Ramadan, maka kebanyakan daripada peniaga bazar agak gelisah dan resah untuk menentukan hala tuju perniagaan mereka terutama sepanjang bulan puasa itu nanti.

Ramai juga yang mencadangkan agar bazar digital atau lebih dikenali sebagai e-Bazar diwujudkan bagi menggantikan bazar Ramadan.
Jadi untuk memberi sedikit sebanyak perkongsian kepada peniaga bazar Ramadan dalam proses mendigitalkan perniagaan masing-masing, berikut lima tip untuk peniaga bazar Ramadan memulakan proses mendigitalkan perniagaan masing-masing.


Tip 1: Penjenamaan produk secara digital 
Peniaga bazar Ramadan digalakkan untuk melihat kembali jenama yang mereka sering gunakan sepanjang bulan Ramadan sebelum ini.

Jika masih tiada jenama, pastikan peniaga bazar Ramadan mula mereka cipta jenama supaya mereka lebih mudah dikenali dalam dunia digital.

Komponen seperti domain website dan nama pengguna media sosial adalah amat penting dalam menguatkan jenama masing-masing.

Contohnya, kalau mereka berniaga ayam percik, pastikan ia mempunyai jenama seperti ayam percik "Pak Cik Abu Power" dan membina laman web dengan nama seperti “www.pakabupower.com”.

Jenama sangat penting memandangkan pelanggan tidak lagi bertemu dengan peniaga bazar Ramadan secara fizikal seperti sebelum ini.

Mereka hanya boleh mencari peniaga bazar Ramadan ini di website korporat masing-masing ataupun mana-mana online presence yang lain seperti blog, artikel dan sosial.

Kita harus pastikan setiap peniaga bazar Ramadan mempunyai jenama yang baik untuk digunakan dalam website korporat dan lebih dikenali di dunia digital.


Tip 2: Fahami konsep e-dagang

E-dagang sangat penting untuk memastikan jualan dapat diselesaikan secara dalam talian.

Komponen-komponen penting seperti gambar, diskripsi produk, harga, penghantaran dan sebagainya wajib dipelajari oleh peniaga bazar Ramadan.

E-dagang juga memastikan peniaga bazar Ramadan boleh terus menjual dan mempromosi produk masing-masing terus kepada pelanggan.

Peniaga bazar Ramadan boleh menggunakan pelbagai platform e-dagang sama ada percuma mahupun yang berbayar.


Tip 3: Bangunkan Payment Gateway

Payment Gateway atau gerbang bayaran sangat penting terutamanya apabila pelanggan sudah berminat untuk membeli produk yang ditawarkan di laman web masing-masing dan sudah mahu membuat pembayaran.

Namun begitu, sekiranya tiada gerbang bayaran yang baik, maka perjalanan untuk menyelesaikan pembayaran akan tergantung dan tidak dapat diselesaikan.

Alangkah ruginya peniaga bazar Ramadan yang mempunyai e-commerce website yang cantik namun tiada gerbang bayaran.

Payment gateway juga boleh dijadikan satu platform untuk peniaga bazar Ramadan mempunyai rekod yang baik terhadap semua hasil jualan yang disimpan dalam sistem e-dagang yang lengkap dengan gerbang bayaran.


Tip 4: Proses penghantaran

Sehebat mana pun laman web e-dagang yang penuh dengan gerbang bayaran, sekiranya tiada proses penghantaran yang baik yang boleh membantutkan juga proses jualan peniaga bazar Ramadan secara dalam talian.

Rakan penghantaran tempatan ada banyak di seluruh Malaysia, antaranya Delyva, Getrunner, Pos Malaysia, dan GD Express.

Sekiranya jualan peniaga bazar Ramadan adalah makanan basah, maka mereka perlu tahu memilih sistem penghantaran yang menggunakan motosikal sesuai dengan kawasan masing-masing.

Sekiranya pula peniaga bazar Ramadan menjual barang-barang kering atau sudah siap seperti baju Melayu, sampin, baju kurung, tudung, songkok dan sebagainya mereka perlu kenal sistem penghantaran seperti Pos Malaysia, GD Express dan pelbagai lagi sistem penghantaran tempatan yang lain.

Dengan adanya system penghantaran ini pastinya memudahkan peniaga bazar Ramadan menghantar produk kepada pelanggan masing-masing.


Tip 5: Gunakan sepenuhnya media sosial

Media sosial sangat penting sebagai ruang mempromosi perniagaan peniaga bazar Ramadan.

Antara sosial media sosial yang popular adalah seperti Facebook, Facebook Page WhatsApp, Telegram, Instagram dan pelbagai lagi media sosial yang mungkin sudah sering digunakan oleh peniaga bazar Ramadan.

Peniaga bazar Ramadan perlu belajar bagaimana untuk mempromosi dan membuat iklan sama ada secara percuma atau berbayar dengan menggunakan teknik copywriting iklan yang baik dan menarik perhatian bakal pembeli.

Isi kandungan sosial media sangat penting dalam memastikan semua kandungan tersebut menarik perhatian pembaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk masing-masing sepanjang bulan Ramadan.

Pastikan isi kandungan Media Sosial tersebut berbentuk sosial dan bukanlah terlalu berbentuk perniagaan atau jualan sahaja.

Ini kerana pelanggan lebih selesa menerima isi kandungan berbentuk sosial dan lebih mesra pelanggan sambil menarik perhatian mereka untuk meninjau produk masing-masing.

Akhirnya pelanggan akan membeli di laman web e-dagang menggunakan gerbang bayaran yang lengkap.

Jadi walaupun kita tahu cabaran berniaga secara digital mungkin sangat baru kepada kebanyakkan peniaga bazar Ramadan, namun sekiranya mereka boleh memperoleh ilmu yang baik daripada pakar-pakar dalam dunia digital, pastinya segala urusan akan jadi lebih mudah.

Masih belum terlambat untuk mencari ilmu dan menambah pengalaman dalam mendigitalkan perniagaan bazar Ramadan masing-masing.

Semoga cabaran krisis COVID-19 ini menjadi satu titik permulaan peniaga bazar Ramadan untuk mula mengaplikasikan konsep digital dalam perniagaan masing-masing.

Dengan ilmu yang betul dan pengalaman yang baik, kami yakin peniaga bazar Ramadan pastinya boleh memulakan perniagaan secara digital dan akan menjadi satu wadah yang lebih baik dalam meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing terutamanya dalam krisis COVID-19 ini.

Semoga kita semua terus utuh dan kuat berjuang dalam meneruskan perniagaan masing-masing.



Abd Azharee Abdul Wahid merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di Akademi Usahawan Mikro (AUM) iaitu sebuah pusat pendidikan latihan dan kemahiran keusahawanan.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili spandangan sidang pengarang Astro AWANI.