SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. PRK Kimanis: Lagu untuk calon Warisan

Kempen PRK Parlimen Kimanis bertukar menarik selepas ada lagu diselitkan. Asalnya, tajuk lagu ialah 'Pembayaran Ansur-Ansur' tetapi ia diubah menjadi 'Undilah Warisan'.

PRK Kimanis 18 Januari ini menjanjikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional.

Ia lebih menarik apabila Datuk Karim Bujang, calon Warisan, dan Datuk Mohamad Alamin, calon BN, berasal dari parti yang sama sebelum ini.

2. Pengganti Dr Maszlee

Cakap-cakap mengenai pengganti Dr Maszlee Malik terus diperkatakan susulan beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada Khamis lalu.

Terbaharu, ketua umum Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, pemilihan menteri pendidikan yang baharu perlu dibuat mengikut semangat dan manifesto PH.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Md Jidin berkata, terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskannya.

Namun bagi Setiausaha Agung DAP, yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, adalah lebih baik jika isu pengganti Dr Maszlee dibincangkan terlebih dahulu.

3. Jenazah Soleimani tiba di Iran

Upacara penghormatan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mejar Jeneral Qasem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Baghdad, bermula Ahad di Ahvaz.

Terdahulu, Presiden Donald Trump berkata, AS membunuh komander tertinggi tentera elit Iran yang didakwa bertanggungjawab merancang operasi ketenteraan serantau Tehran tersebut untuk 'menghentikan peperangan' bukan memulakannya.

4. Anugerah Golden Globe 2020

Peminat seni pasti tidak sabar untuk mengetahui siapa pemenang anugerah Golden Globe untuk dekad baharu 2020.

Pada 9 Disember lalu, sudah berlangsung pengumuman calon-calon yang bakal menerima anugerah tertinggi di Hollywood itu.

Ia akan berlangsung hari ini bermula 9 pagi waktu Malaysia.

5. Teruja menanti kedatangan Eric Nam

Kalangan peminat k-pop pasti teruja apabila penyanyi kesayangan mereka itu akan berkunjung ke Mlaysia tidak lama lagi.

Kunjungan penyanyi 'Honestly' itu adalah sempena rangka Jelajah Asia 2020 'Before We Begin', 17 Januari ini.

Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Ahad di sini.