Kira-kira 500,000 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bayaran, pada Rabu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan tersebut sepatutnya diberikan April ini, namun dipercepatkan 15 hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

Menurutnya, bantuan tersebut melibatkan kos sebanyak RM150 juta secara keseluruhan.

"KPWKM amat mengharapkan agar semua penerima bantuan yang ingin keluar ke bank supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan-arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Rina juga meminta orang ramai untuk mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan diri daripada berada di kawasan bank yang sesak.

"Keselamatan dan kesejahteraan penerima bantuan JKM merupakan keutamaan KPWKM," ujarnya.

Perintah kawalan selama 14 hari dikuat kuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.