Seramai 1,000 anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) telah dikerahkan untuk membantu anggota penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam Ops Belang.

Jelas Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador, ia selepas mendapat persetujuan dari Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam membanteras pemburu haram harimau.

“Selaku Ketua Polis Negara saya telah mengerahkan satu Batallion Pasukan Gerakan Am 'Senoi Praaq' dari Bidor iaitu seramai 500 anggota dalam tugasan khas dan satu batallion seramai 500 anggota lagi untuk standby."

BACA: Perhilitan diberi kuasa tembak pemburu haram jika diancam - KPN

"Mereka mahir mengesan pemburu haram dan memang biasa dalam persekitaran hutan,“ katanya dalam sidang media selepas Majlis Selamatkan Harimau Malaya di Putrajaya pada Ahad.

Tambah Abdul Hamid, beliau telah memberi kata semangat kepada kesemua anggota berkenaan yang terdiri daripada kaum Orang Asli untuk menyelamatkan flora dan fauna dari menjadi mangsa pemburu haram.