Sebanyak 516 kes denggi direkodkan di negeri ini sejak 30 Dis sehingga 12 Jan lepas dengan dua kematian di Johor Bahru dan Batu Pahat.

Kata Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 236 kes berbanding 280 kes dalam tempoh sama, tahun lepas.

"Daerah yang mencatatkan kes denggi tertinggi ialah Johor Bahru sebanyak 70.4 peratus diikuti Kulai (6.9 peratus), Batu Pahat (5.8 peratus) dan Pontian (empat peratus),

"Ia diikuti Kota Tinggi sebanyak 3.2 peratus, Tangkak (2.5 peratus), Kluang dan Mersing masing-masing 2.1 peratus, Muar (1.4 peratus) serta Segamat (1.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selahuddeen berkata, berikutan peningkatan kes denggi terbabit, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengadakan Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) di kawasan wabak denggi pada Selasa dan Rabu yang melibatkan 12 lokaliti wabak.

Menurutnya, ia melibatkan Jalan Setia 2 di Taman Setia Indah, Jalan Kelabu/Hijau Muda/Biru Muda di Taman Pelangi, Taman Sri Bahagia, Jalan 15-30 Taman Kota Masai, Jalan Putra Taman Tan Sri Yaacob dan Flat Pulai Utama.

Lokaliti lain adalah Flat Sri Setanggi, Taman Damai Jaya, Jalan Pinang 18-37 Taman Daya, Jalan Ketapang Taman Rinting, Flat Simbang Taman Perling serta Blok D Flat Sri Buana Taman Perling.

"Ops Gempur Aedes turut diadakan di daerah lain pada Selasa dan Rabu supaya masyarakat mengambil tindakan pembersihan tempat pembiakan jentik-jentik bagi menghalang penularan virus denggi," katanya.

Selahuddeen turut menyarankan orang ramai supaya memainkan peranan aktif dan tanggungjawab bagi memastikan tiada tempat takungan pembiakan aedes.

Orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pencegahan seperti sentiasa melakukan pemeriksaan sendiri dan memusnahkan pembiakan aedes di rumah atau premis masing-masing, katanya.

-- BERNAMA