Tutup

52 pelajar tahfiz alami keracunan makanan

52 pelajar tahfiz alami keracunan makanan
Mangsa berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu menikmati ayam goreng kunyit yang disedekahkan oleh orang awam untuk makan malam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 52 pelajar Tahfiz Darul Ulum di Seremban dipercayai mengalami keracunan makanan selepas mengadu sakit perut dan muntah pagi tadi, lapor Utusan Online.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainudin Mohd. Ali, kesemua 52 pelajar tahfiz itu dikatakan mula mengalami simptom berkenaan kira-kira pukul 4 pagi.
Dr Zainudin berkata, mangsa berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu menikmati ayam goreng kunyit yang disedekahkan oleh orang awam untuk makan malam.

“Seramai 36 pelajar telah mendapat rawatan pesakit luar di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar dan 33 daripadanya telah dibenarkan pulang ke pusat tahfiz manakala tiga orang lagi masih di pantau di wad kecemasan.
“Seramai 16 orang pelajar lagi dirawat oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Ampangan di pusat tahfiz tersebut dan kesemua pelajar berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zainudin juga menjelaskan, pihaknya telah melakukan siasatan di kediaman individu yang menyumbangkan masakan tersebut dan mendapati kebersihan tempat penyediaan makanan adalah memuaskan.

“Setakat ini, beberapa sampel makanan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh untuk ujian selanjutnya dan keputusan dijangkakan diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu," katanya lagi.