Sebanyak 52 buah taska dan 40 buah pusat jagaan di Negeri Sembilan dikesan beroperasi tanpa didaftarkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata daripada jumlah itu, sebanyak 42 taska tidak berdaftar direkodkan di daerah Seremban, tiga buah masing-masing di Port Dickson dan Tampin, dua buah masing-masing di Rembau dan Jempol manakala bagi daerah Jelebu dan Kuala Pilah, tiada taska direkodkan tidak berdaftar.

Beliau berkata daripada 40 buah pusat jagaan tidak berdaftar, Seremban sekali lagi merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 32 buah, diikuti Port Dickson dan Rembau, masing-masing dua serta Tampin, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol, kesemua satu.

"Kita berusaha memastikan taska dan pusat jagaan tidak berdaftar dapat diminimumkan dengan menjalankan program pemutihan secara agresif mulai tahun ini. Kita juga telah memberikan surat amaran, juga tempoh untuk pemilik berkenaan mendaftarkan taska dan pusat jagaan bagaimana pun, mereka masih ingkar berbuat demikian," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tan berkata mereka yang enggan berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda harian sehingga RM1,000 setiap hari bagi kesalahan berterusan.

Manakala kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) pula memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama dan RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua.

Berdasarkan statistik daripada Januari sehingga 31 Julai tahun ini, Tan berkata terdapat sebanyak 156 taska dan 109 pusat jagaan direkodkan telah berdaftar di bawah akta berkenaan.

Katanya daripada jumlah 156 buah taska itu, Seremban merekodkan sebanyak 120 buah taska yang berdaftar, diikuti Tampin (13 buah), Rembau dan Port Dickson (tujuh), Jelebu (dua), Kuala Pilah (lima) dan Jempol (dua).

Bagi pusat jagaan berdaftar, Seremban merekodkan sebanyak 84 buah, Tampin (tujuh), Port Dickson (enam), Kuala Pilah (lima), Rembau (empat) serta Jempol (tiga) manakala Jelebu tiada pusat direkodkan.

-- BERNAMA