51 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan membabitkan pekerjaan mereka termasuk tidur tidak mencukupi, beban kerja yang berat dan masalah kewangan.

Itu hasil dapatan Kajian Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia oleh AIA Vitality 2019 dengan kerjasama Agensi Penyelidikan Rand Europe dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan sektor pekerjaan di Malaysia sepanjang tahun 2019.

Menurut Naib Presiden Rand Europe Dr Christian Van Stolk, kajian melibatkan 17,595 pekerja sebagai responden dari 230 organisasi seluruh negara.

Antara kesannya adalah:

Kehilangan Produktiviti

Kajian juga mendapati dalam tempoh setahun, sebanyak 28 peratus daripada pekerja di negara ini tidak hadir bekerja kerana masalah kesihatan ataupun hadir bekerja dalam keadaan tidak sihat.

Ini menyebabkan mereka kehilangan produktiviti.

Daripada jumlah itu, tiga peratus ketidakhadiran dicatatkan, bersamaan lapan hari bekerja bagi setiap pekerja di negara ini.

Manakala 25 peratus lagi bersamaan 65 hari bekerja , pekerja menghadapi "presenteeism" iaitu hadir bekerja dalam keadaan tidak sepenuhnya produktif.

Selain itu, kesihatan mental juga dikaitkan dengan tahap produktiviti kerja.

Kajian menunjukkan, 53 peratus pekerja di negara ini tidak mendapat tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya selama tujuh jam setiap hari.

Manakala 17 peratus daripada pekerja berasa penat setiap hari sekaligus merencatkan produktiviti mereka.

Lebih membimbangkan, masalah ini membawa kepada purata kerugian sebanyak RM1.46 juta yang terpaksa ditanggung oleh sesebuah organisasi setiap tahun.

Tekanan kerja

Di sudut kesihatan mental pula, sebanyak 51 peratus pekerja di negara ini menghadapi tekanan kerja.

Ia membabitkan 29 peratus akibat dikawal oleh majikan, 14 peratus berkaitan hubungan diantara majikan dan pekerja, 11 peratus permintaan menyelesaikan tugasan, 10 peratus perubahan di tempat kerja atau pekerjaan manakala lapan peratus sokongan pengurusan yang kurang dan lima peratus membabitkan kurang sokongan rakan sekerja serta lima peratus lagi akibat tugasan.

22 peratus pekerja turut mengalami tekanan atas faktor masalah kewangan.

Masalah Kesihatan

Pekerja di negara ini juga didapati kurang mengamalkan gaya hidup sihat menyebabkan mereka 'tua sebelum waktunya'.

Ini dibuktikan apabila 98 peratus pekerja mengikut 'ujian usia' oleh AIA Vitality Age, menunjukkan keputusan usia responden adalah lebih tua daripada usia sebenar mereka.

Kajian juga menunjukkan 90 peratus pekerja tidak mengamalkan pemakanan seimbang.

42 peratus daripadanya direkodkan mengalami masalah berat badan atau obesiti.

Akibat diet tidak seimbang, 32 peratus pekerja mengalami penyakit kronik seperti masalah buah pinggang, darah tinggi, kolestrol tinggi, diabetes, sakit jantung, strok serta kanser.

Lebih membimbangkan, 45 peratus organisasi di negara ini tidak campur tangan soal kesihatan dan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja.

Justeru, kajian mencadangkan beberapa langkah menang-menang yang perlu diambil oleh majikan dan pekerja.

Bagi majikan, ruang rehat perlu diwujudkan di tempat kerja bagi kemudahan pekerja berehat.

Selain itu, majikan juga diminta menyediakan pakar kaunseling buat pekerja yang menghadapi masalah di tempat kerja.

Manakala pekerja pula perlu mengamalkan gaya hidup sihat serta pemakanan seimbang dalam menjaga kesihatan mereka.