Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menerima 556 laporan polis berkenaan penipuan penjualan topeng muka secara atas talian dari Januari hingga awal April.

Menurut Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, sehingga kini kerugian yang dicatatkan lebih RM4.2 juta melibatkan 39 tangkapan di seluruh negara.

"Pihak polis telah membuat tangkapan seramai 39 orang warganegara Malaysia yang terdiri daripada 29 lelaki dan 10 perempuan pelbagai bangsa. Kesemua mereka berumur antara 21 hingga 45 tahun, 22 suspek telah dituduh setakat ini," katanya.

Siasatan awal polis mendapati, modes operandi suspek adalah dengan mengiklankan penjualan topeng muka di media sosial seperti Facebook, Instagram dan beberapa aplikasi lain.

Apabila terdapat mangsa yang ingin membeli topeng muka itu, suspek kemudiannya akan memberikan akaun bank (akaun palsu) menerusi aplikasi WhatsApp.

"Suspek akan meminta mangsa memasukkan sejumlah wang dan menjanjikan penghantaran akan dilakukan.

"Setelah pembayaran dilakukan, suspek gagal dihubungi serta akses media sosial disekat dan penghantaran tidak dilakukan," kata Mohd Zakaria.

Suspek juga jelasnya akan memberikan nombor pengesan penghantaran barangan palsu bagi mengaburi mata pembeli.

Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan sebarang sindiket penipuan penjualan topeng muka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Pembeli perlu membuat semakan akauan penerima dahulu sebelum membuat sebarang pembayaran di portal 'Semakmule' Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau hubungi CCID Infoline di talian 013-2111222.