5G bakal tingkatkan ekonomi dan pembangunan pelbagai sektor di Malaysia - Tun Mahathir

5G bakal tingkatkan ekonomi dan pembangunan pelbagai sektor di Malaysia - Tun Mahathir
Kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi negara bergerak seiring dengan pembangunan teknologi terkini, keupayaan teknologi 5G dijangka mampu meningkatkan ekonomi pelbagai sektor di negara ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Malaysia hari ini menjadi negara pertama di Asia Tenggara melancarkan Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G).

Pelancaran pameran dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata teknologi 5G menandakan satu titik fleksi dalam komunikasi akan datang yang membawa negara ke dalam satu dimensi yang kadang-kadang melampaui imaginasi.

Menurut beliau lagi, bagi negara bergerak seiring dengan pembangunan teknologi terkini, keupayaan teknologi 5G harus dimanfaatkan agar mampu membantu meningkatkan ekonomi pelbagai sektor di negara ini.

Beliau juga yakin Malaysia akan dapat memanfaatkan teknologi 5G dalam tempoh 3 tahun akan datang, dengan persediaan yang diperlukan untuk melaksanakannya.

“Keupayaan untuk mengikuti dan sejajar dengan kemajuan teknologi akan memberi kesan kepada kejayaan ekonomi. Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta pemimpin perniagaan untuk cepat merangkul revolusi Industri 4.0 dan melengkapi pelan mereka dengan strategi pembesaran komprehensif.
“Untuk kekal dinamik dan berdaya saing, mereka mesti melabur dalam modal insan mereka. Terdapat keutamaan moral dan ekonomi untuk berbuat demikian. Tanpa pendekatan proaktif, perniagaan dan pekerja mungkin kehilangan potensi ekonomi zaman digital,” kata Tun Dr Mahathir ketika melancarkan Pameran 5G di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Khamis.


Jelas Perdana Menteri, teknologi 5G bukan hanya mementingkan kelajuan teknologi mudah alih semata mata.

Sebaliknya ia dilihat menambah keupayaan dunia perubatan dan pendidikan.

“Sesungguhnya, 5G menandakan satu titik fleksi di masa depan, komunikasi yang membawa kita ke dimensi yang sedikit masa di luar imaginasi kita. Revolusi Perindustrian Ke-4 melalui kemajuan dalam bidang digital, fizikal dan biologi, dan membawa penemuan dalam kecerdasan buatan, robotik , data besar, realiti maya dan kejuruteraan perisian,” ujar Perdana Menteri lagi.

Justeru beliau berharap pemain industri di negara ini bersedia menerima perubahan.

Kerajaan juga telah memulakan inisiatif sejak tahun lalu menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Tetapi perubahan dari 4G ke 5G tidak hanya muncul dalam sekelip mata. Ia memerlukan usaha yang ketara dalam penyelidikan dan pembangunan, kerjasama industri, dan sumber yang diperlukan untuk menyokong usaha itu.

“Saya dengan sukacitanya menyatakan bahawa kerajaan akan memulakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk memastikan kesediaan dan penggunaan teknologi 5G tepat pada masanya,” tambahnya.


Terdahulu Tun Dr Mahathir tiba dengan menaiki Kenderaan Tanpa Pemandu berteknologi 5G bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo selama kira kira lima minit di perkarangan Bangunan Perbadanan Putrajaya.

Kereta 5G pemanduan sendiri itu dibangunkan oleh Ericsson dan Celcom melalui perkongsian dengan eMooVit, sebuah syarikat pemula teknologi tinggi.

Dalam pameran itu, 11 syarikat telekomunikasi dan peranti digital tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian.

Antaranya Celcom, Digi, Maxis, Huawei, Nokia, Ericsson.

Tag: Mahathir Mohamad, Gobind Singh Deo, 5G, ekonomi, kerajaan, Perdana Menteri, teknologi 5G


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.