Selangor akan membina 6,379 unit Rumah Selangorku menerusi 19 projek perumahan khusus buat rakyat negeri itu pada tahun 2020.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga mensasarkan untuk menyiapkan 22,664 unit Rumah Selangorku menjelang tahun 2023.

"Sehingga 31 Ogos 2019, sebanyak 112,852 unit (262 projek) Rumah Selangorku telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri di mana 10 peratus iaitu sebanyak 11,555 unit (25 projek) dibangunkan oleh agensi / anak syarikat kerajaan negeri Selangor manakala baki 90 peratus iaitu 101,297 unit (216 projek) dibangunkan oleh pemaju swasta,” katanya semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2020, di sini pada Jumaat.

Dasar Rumah Selangorku yang mula diperkenalkan pada 1 Januari 2014 telah mencapai sasaran yang ditetapkan dalam mencapai objektif bagi memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik yang lebih berkualiti, selesa, dilengkapi kemudahan yang mencukupi dan mampu dimiliki.

Ia dijual pada harga jualan yang munasabah iaitu antara RM42,000 sehingga RM250,000 bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya dalam kategori B40 dan M40 dengan variasi lima jenis rumah iaitu jenis A, B,C, D dan E berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Amirudin dalam masa berkata, beliau optimis penglibatan agensi dan anak syarikat kerajaan
negeri dalam menjayakan pembangunan Rumah Selangorku serta kerjasama pintar dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) membangunkan Rumah Idaman.

Komitmen serius yang ditunjukkan, kata beliau, memastikan pelaksanaan dasar penyediaan satu keluarga satu kediaman yang sempurna dapat direalisasikan.

Selain itu, katanya, sebanyak 100 unit Rumah Selangorku akan dibeli oleh kerajaan negeri bagi merancakkan pelaksanaan Skim Smart Sewa dengan anggaran harga belian RM200,000 seunit.

Ia melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM20 juta selain sebagai inisiatif berterusan yang dilaksanakan bagi menangani kemelut pembeli rumah yang berdepan dengan masalah pembiayaan akhir.