Seramai 6,609 rakyat Malaysia pulang ke tanah air menerusi pintu masuk utama negara sejak kerajaan melaksanakan proses kuarantin di kediaman masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, daripada jumlah itu, 36 individu yang disahkan positif COVID-19 ketika menjalani ujian saringan swab, sejurus tiba dihantar ke hospital.

Sementara itu katanya, baki 6,573 individu lagi diarah menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

"Semalam (Sabtu), seramai 454 rakyat Malaysia kembali ke tanah air menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dengan dua daripada mereka dihantar ke hospital," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kumpulan itu tiba dari Indonesia, Iran, Singapura, Taiwan, Jepun, Vietnam, Myanmar, Qatar, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara 148 individu lagi katanya, memasuki negara melalui sempadan Johor.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan 472 pemantauan prosedur operasi standard (SOP) kuarantin rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.