Seramai 6,749 rakyat Malaysia yang terkandas di 51 negara telah berjaya dibawa pulang ke tanah air, setakat 6 petang hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata usaha itu dilakukan sama ada dengan pembiayaan kerajaan, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun secara persendirian.

Menurutnya semalam dan hari ini, seramai 444 rakyat Malaysia yang terkandas telah selamat kembali ke tanah air, iaitu 306 orang dari India, 65 orang (Filipina), 45 orang (New Zealand), empat orang (Australia) dan 24 orang (Jepun).

"Selain itu, seramai 40 orang rakyat Malaysia, iaitu kumpulan kedua dari New Zealand dijadualkan tiba menerusi penerbangan MH144 pukul 7.30 malam ini," katanya sambil menambah seramai 1,025 orang rakyat Malaysia masih direkodkan terkandas di 20 negara.

Katanya kementerian dan Perwakilan Malaysia di luar negara akan terus memainkan peranan proaktif dan memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kamarudin berkata Kementerian Luar menerima laporan bahawa seramai 161 jemaah tabligh Malaysia sedang dikuarantin di India dengan 126 daripadanya ditempatkan di pusat-pusat kuarantin di New Delhi manakala 35 yang lain dikuarantin di luar New Delhi.

"Wisma Putra ambil maklum berhubung penahanan pihak berkuasa India terhadap beberapa orang rakyat Malaysia yang sepatutnya menaiki penerbangan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi semalam. Penahanan tersebut ekoran keputusan kerajaan India melaksanakan proses kuarantin terhadap semua rakyat asing yang menyertai perhimpunan tabligh di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga 13 Mac," katanya.

Katanya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan kerajaan India bagi memastikan hak dan kebajikan mereka yang terlibat terjaga selain berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

"Dalam pada itu, kami Wisma Putra, ingin menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih berada di India agar mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa India sepanjang krisis COVID-19 ini," katanya.

Selain itu, Kamarudin yang juga pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata seramai 78 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura berjaya dibawa pulang pada 2 April lepas.

"Mereka terdiri daripada wanita hamil, warga emas, OKU (orang kurang upaya) dan kanak-kanak. Ini adalah hasil jalinan kerjasama yang erat antara kedua-dua belah pihak yang telah membuahkan hasil yang positif," katanya.

Katanya Kementerian Luar mengambil maklum keputusan kerajaan Singapura untuk melaksanakan sekatan pergerakan separa bermula 3 April 2020.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sedang mendapatkan statistik terkini mengenai jumlah pekerja Malaysia yang masih berada di Singapura daripada Kementerian Tenaga Kerja negara itu," katanya sambil menambah dianggarkan 25,000 rakyat Malaysia masih berada di Singapura.

Berkenaan surat daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bertarikh 29 Mac 2020, Kamarudin berkata keputusan sama ada untuk membawa pulang atau tidak pelajar-pelajar Malaysia USM-KLE perlu dirujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

" Kenyataan terbaru KPT pada 3 April 2020 bahawa semua pelajar dinasihatkan untuk kekal di negara pengajian masing-masing. Wisma Putra melalui Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa berhubung dengan Education Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta wakil komuniti pelajar Malaysia di luar negara bagi mendapatkan perkembangan terbaru seterusnya memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan para pelajar yang terkandas diberi perhatian sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA